ZAMRI Mat Amin (kiri) dan Salehuddin Selat di hadapan kandang kambing mereka. FOTO ROSELAN AB MALEK
ZAMRI Mat Amin (kiri) dan Salehuddin Selat di hadapan kandang kambing mereka. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Jerantut: Dua penternak kambing di Kuala Tahan di sini berputih mata apabila 25 ekor kambing yang dipelihara mereka lesap dari kandang pagi semalam.

Zamri Mat Amin, 53, berkata dia bersama Salehuddin Selat, 54, mempunyai kandang kambing yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di perumahan Felcra, Kuala Tahan.

Menurutnya, mereka berdua pergi ke kandang itu pada jam 12 tengah malam kelmarin untuk melihat keadaan kambing dan mengunci pintu serta pagar kawasan itu sebelum pulang ke rumah.

"Pada sebelah pagi ketika Salehuddin hendak membuka pintu pagar kandang dia terkejut apabila melihat keadaan pintu sudah terbuka akibat dikopak dan mangga kunci pintu kandang dipotong.

"Apabila melihat ke dalam kandang kami terkejut kerana semua kambing hilang kecuali lapan ekor anak kambing," katanya.

Zamri berkata mereka mempunyai 33 ekor kambing kampung dan kambing Boer yang dipelihara sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, kegiatan mencuri itu mungkin berlaku antara 2 hingga 5 pagi ketika waktu hujan dan dia dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM 23,000.

"Kami anggap kejadian ini adalah sebagai ujian daripada Allah. Kami berharap pencuri itu dapat terbuka hati memulangkan semula kambing itu.

"Kami bekerja sebagai pemandu pelancong dan ketika ini begitu terkesan kerana tidak ramai pelancong yang datang ke Taman Negara. Inilah sumber pendapatan kami kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 11:32 AM