KAPT (B) Harun Othman (Kiri) membetulkan kedudukan jenazah Ibrahim Yasir yang meninggal dunia selepas solat maghrib di Masjid Jamek Al-Yahya, Taman Kluang Barat, Kluang malam tadi. FOTO ihsan PEMBACA
KAPT (B) Harun Othman (Kiri) membetulkan kedudukan jenazah Ibrahim Yasir yang meninggal dunia selepas solat maghrib di Masjid Jamek Al-Yahya, Taman Kluang Barat, Kluang malam tadi. FOTO ihsan PEMBACA
Adnan Ibrahim


Kluang: "Saya lihat mulutnya terkumat-kamit ketika diajarkan mengucap dua kalimah syahadah," kata saksi kejadian seorang noja Masjid Jamek Al-Yahya, Taman Kluang Barat di sini, yang meninggal dunia sebaik selesai solat Maghrib berjemaah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.20 malam itu, Ibrahim Yasir, 70, menghembuskan nafas di pangkuan seorang jemaah, Kapten (B) Harun Othman, 59.

Menurut Harun, sebaik selesai solat Maghrib, dia melihat arwah melambai sebanyak empat kali kepadanya sebelum dia menghampirinya untuk mendapatkan kepastian.

"Ketika itu jemaah baharu sahaja habis mengaminkan doa dibaca imam dan sebaik menghampiri arwah, dia minta urut badan kerana terasa sangat sakit.

"Arwah yang juga pesara kerajaan kemudiannya minta izin untuk berbaring di atas riba dan ketika itu saya menurutkan sahaja kehendaknya apatah lagi apabila melihat dia seperti sukar bernafas.

"Saya mengajarnya mengucap syahadah dan melihat mulutnya seakan menurut apa yang diajarkan sebelum menutup mata dan nafasnya terhenti," katanya katanya ketika ditemui hari ini.

Harun berkata, arwah seorang yang bertanggungjawab terhadap tugas-tugas yang diberikan kepadanya dan tidak pernah gagal untuk menjalankan tugas setiap kali sebelum solat fardu bermula.

Manakala isteri arwah, Muslimah Badron, 68, berkata sebelum ke masjid suaminya dalam keadaan sihat malah pada petangnya mereka berdua sempat menziarahi seorang warga emas di Taman Kluang Barat untuk menyampaikan sedikit sedekah.

"Petang semalam dia bergerak awal ke masjid untuk membuat persiapan solat jemaah kerana dia turut bertugas mengambil suhu badan serta jemaah yang hadir.

"Walaupun sudah berusia, dia tidak berhadapan dengan masalah kesihatan. Dia pergi tanpa menunjukkan sebarang tanda dia kurang sihat," katanya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kluang Barat hari ini.

Katanya, dia tidak sangka doa suaminya supaya 'dijemput' kembali dalam keadaan mudah dimakbulkan Allah SWT.

Menurut Muslimah, dia sering berdoa supaya mereka berdua tidak menyusahkan sesiapa walaupun pada saat-saat akhir kehidupan dan tidak menyangka insan kesayangannya itu dijemput kembali menghadap Ilahi sebaik selesai solat maghrib di masjid.

Jenazah bapa kepada dua anak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Haji Manan di sini, jam 10 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 2:03 PM