GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Terdesak mahu menampung perbelanjaan menyebabkan segelintir peniaga dan penduduk di sekitar bandar ini mengambil risiko dengan membuat pinjaman daripada ceti haram atau along.

Malah, ada di antara mereka membuat pinjaman sehingga dengan tiga along apabila berlaku tekanan untuk membayar balik dalam tempoh ditetapkan.

Difahamkan, ramai membuat pinjaman segera itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac lalu akibat Covid-19.

Peminjam dikenali sebagai Nisah, 42, berkata dia terpaksa membuat pinjaman segera itu kerana bebanan perbelanjaan ketika PKP.

Katanya, dia sanggup berdepan risiko jika gagal membayar balik kerana sudah buntu memikirkan keadaan itu dan tidak ada sumber pendapatan tetap.

"Saya pernah berdepan tekanan untuk membayar balik pinjaman itu dalam tempoh ditetapkan hingga terpaksa pula membuat pinjaman dengan along lain.

"Saya pinjam wang dengan along kedua untuk bayar balik pinjaman along pertama. Itulah cara difikirkan perlu pada musim terdesak sekarang.

"Urusan untuk membuat pinjaman along dan membayar balik dilakukan di tempat terlindung daripada pandangan orang ramai," katanya.

Seorang lagi peminjam dikenali sebagai Alim, 39, berkata, dia terpaksa meminjam dalam keadaan terdesak dan sukar mendapat kerja sejak Covid-19 melanda manakala perniagaan pula merudum.

Katanya, pinjaman daripada along itu adalah jalan kesudahan untuk menampung belanja dalam keadaan terdesak termasuk menambah modal perniagaan.

"Apapun, saya bersyukur kerana setakat ini masih dapat bertahan dan membuat bayaran balik pinjaman itu mengikut jadual ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 2:24 PM