EMPANGAN hidroelektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir, Terengganu. FOTO IHSAN TNB
EMPANGAN hidroelektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir, Terengganu. FOTO IHSAN TNB
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaksanakan persediaan awal di semua tiga empangan hidroelektrik miliknya termasuk Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir, Terengganu bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini sejak Ogos lalu.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TPGSB), Datuk Nor Azman Mufti berkata, persediaan yang dilakukan termasuk pengurusan paras empangan melalui pelepasan terkawal dan pemeriksaan menyeluruh di stesen-stesen janakuasa milik TNB.

Selain itu, katanya, latihan pengungsian dan ujian tahap ketersediaan bersama pelbagai agensi kerajaan berkaitan dengan pengurusan banjir turut dilakukan.

"Selain menjana tenaga hijau kepada negara, empangan berkenaan turut berfungsi sebagai sistem tebatan banjir bagi mengelak berlaku bencana lebih buruk terutama di kawasan hilir sungai.

"Sebelum musim tengkujuh tiba, paras air empangan diturunkan melalui pelepasan terkawal bagi membolehkan empangan menakung jumlah air hujan yang bakal meningkat," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

TPGSB adalah anak syarikat milik penuh TNB yang bertanggungjawab terhadap pengurusan aset penjanaan elektrik milik TNB termasuk empangan hidroelektrik TNB di Tasik Kenyir, Terengganu; Cameron Highlands, Pahang dan Sungai Perak, Perak.

Nor Azman berkata, dengan pelaksanaan langkah awal, pihaknya tiada keperluan melepaskan air empangan secara mendadak ketika musim tengkujuh sehingga boleh menyebabkan bencana lebih besar di hilir sungai.

Beliau turut memberi jaminan semua empangan hidroelektrik milik syarikat utiliti itu berada dalam keadaan baik dan selamat.

Sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Careline.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 3:38 PM