GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Lima pendatang asing tanpa izin (Pati) yang bersembunyi di kawasan kampung di Teluk Ramunia, Bandar Penawar, Johor ditahan anggota tentera awal pagi tadi.

Mereka ditahan pada 2.30 pagi oleh sepasukan anggota Divisyen Pertama Infantri Malaysia ketika membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia dalam kenyataan berkata, tangkapan pertama oleh Pasukan Tindak Pantas (QRF) membabitkan dua pati pada 2.10 pagi di kawasan Kampung Masjid.

"Susulan penahanan suspek membawa kepada tangkapan kedua pada 9 pagi membabitkan tiga lagi pati yang bersembunyi berhampiran Kampung Wakap.

"Semua lima pati terdiri daripada empat lelaki dan satu wanita berusia antara 22 hingga 41 tahun yang ditahan dipercayai baru tiba di negara ini melalui jalan yang tidak sah,"katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan tangkapan dianggarkan berjumlah RM1,492.

"Semua yang ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 3:44 PM