Ruwaida Md Zain


Klang: Bukan setakat keruh dan berbau busuk, air yang memenuhi segenap ruang di dalam rumah turut membawa bersama ular tedung serta lipan.

Itu masalah yang dihadapi penduduk beberapa taman perumahan di Jalan Teratai, Meru, di sini, hampir setiap bulan sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Penduduk, Haraya Samin, 49, yang menetap di Taman Meru Utama 5 berkata, setiap kali hujan keluarganya hidup dalam kebimbangan kerana air naik pada bila-bila masa sehingga mengakibatkan barang elektrik dan perabot rosak.

"Rumah dinaiki air sejak kira-kira 10 tahun lalu, paling teruk setahun 15 kali banjir. Paling sikit, lapan hingga sembilan kali setahun kami terpaksa duduk dalam air selama tiga hingga empat hari sebelum surut.

"Sejak enam tahun lalu, saya menjaga suami yang memerlukan rawatan dialisis tiga kali seminggu, kerap kali kami ulang-alik ke hospital dalam keadaan banjir.

"Suami baru meninggal Julai lalu. Pada hari suami meninggal, air mula surut selepas tiga hari banjir, di saat akhir sebelum meninggal, arwah cuba bantu saya kemas rumah sebab dia tidak sanggup tengok keadaan rumah yang kotor disebabkan banjir.

 HARAYA mengalihkan barang di dalam rumahnya yang dinaiki air sejak tiga hari lalu. FOTO Ruwaida Md Zain
HARAYA mengalihkan barang di dalam rumahnya yang dinaiki air sejak tiga hari lalu. FOTO Ruwaida Md Zain

"Anak bongsu saya orang kurang upaya (OKU), kerap diserang sawan malah anak-anak juga kerap ponteng sekolah kerana banjir," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Haraya yang juga tukang jahit berkata, dia tidak tahu apa lagi alasan yang perlu diberikan kepada pelanggan kerana bilik jahitan yang terletak di tingkat bawah dimasuki air dan ada mesin jahit yang rosak.

"Kami beli rumah ini 15 tahun lalu tapi 10 tahun kebelakangan ini memang sengsara duduk sini setiap kali hujan, mesti naik air dan masuk ke dalam rumah.

"Setiap kali banjir, kami akan naik tingkat atas dan saya tidak dapat menjahit tapi sampai bila keadaan kami begini sebab ini punca rezeki saya untuk menyara keluarga," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Faizan Pardi, 42, pula menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari turun padang bertemu mereka, mendengar rintihan mereka yang kerap menjadi mangsa banjir itu.

"Banjir bukan sekali, setahun kira-kira 15 kali. Kalau bukan musim tengkujuh pun boleh banjir, apatah lagi bila musim tengkujuh seperti sekarang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Masyarakat Prihatin SeMalaysia, S Hassan Kuthoos S Ahamed Kabeer berkata, pihak berwajib hanya datang lawat dan balik, bukan sekali tetapi begitulah setiap kali aduan dibuat.

"Kami akan terus mendesak dan amat berharap pihak berwajib turun padang, dengar suara rakyat dan usahakan sesuatu, kasihan kepada penduduk yang terjejas sejak bertahun-tahun," katanya dalam sidang media di Jalan Teratai di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 4:29 PM