FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Masjid dan surau di negeri ini diarahkan menangguhkan majlis sambutan Maulidur Rasul bermula Selasa ini sehingga tarikh yang dimaklumkan kemudian.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, arahan itu dibuat sebagai usaha membendung penularan wabak Covid-19 di masjid dan surau di negeri ini.

Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, arahan itu selari dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menitahkan semua kadi daerah mengambil langkah berjaga-jaga, segera dan tegas dalam mengekang penularan wabak itu di masjid dan surau negeri ini.

"Mengambil kira peningkatan kes wabak Covid-19 di beberapa mukim di daerah di Johor, kerajaan negeri mengarahkan semua sambutan Maulidur Rasul di masjid dan surau negeri ini ditangguhkan.

"Penggunaan Garis Panduan Tatacara Penganjuran Majlis Sambutan Maulidur Rasul Semasa/Selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Masjid dan Surau Negeri Johor yang dikeluarkan 18 Oktober lalu juga ditangguhkan sehingga pengumuman baharu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tosrin berkata, ahli jawatankuasa masjid dan surau juga hendaklah melaksanakan kerja pembersihan atau nyah cemar mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Mana-mana jemaah mengalami gejala demam, batuk, sakit tekak dan selsema hendaklah segera mendapatkan rawatan ke klinik kesihatan atau hospital berhampiran untuk pemeriksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 4:37 PM