BEKAS penyelidik MARDI maut ditetak dalam kejadian samun di rumahnya.
BEKAS penyelidik MARDI maut ditetak dalam kejadian samun di rumahnya.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perompak yang menetak mati pesara kerajaan dalam kejadian samun di Bukit Bandaraya, Bangsar, di sini awal pagi tadi dipercayai memasuki kawasan perumahan terbabit melalui laluan belakang bagi mengelak dikesan pengawal bertugas.

Wakil pengurusan syarikat pengawal keselamatan di kawasan perumahan itu Ranveer Singh, 32, berkata, pengawal yang bertugas di kawasan perumahan di Jalan Mambu pada malam tadi tidak mengesan sebarang perkara mencurigakan.

"Pengawal keselamatan di sini bertugas 24 jam setiap hari dan pasti akan dapat mengesan penjenayah itu jika mereka (memasuki kawasan perumahan) menggunakan laluan biasa," katanya kepada Bernama ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Beliau yang kesal dengan kejadian itu berkata, penduduk di kawasan itu sudah mengemukakan cadangan untuk menambah bilangan pengawal keselamatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, selepas kejadian, dua suspek kes berkenaan dipercayai melarikan diri ke arah parit besar di belakang rumah banglo dua tingkat itu.

Katanya anjing pengesan dapat menjejak suspek sehingga kira-kira 50 meter dari parit besar berkenaan sebelum bau mereka hilang di bahagian air parit itu dan di jalan besar berdekatan.

"Usaha memburu suspek dipergiatkan dan polis akan mengenal pasti lebih banyak maklumat seperti pakaian dan rupa mangsa untuk dihebahkan," katanya.

Dalam kejadian 3.30 pagi tadi, Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, yang juga bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera di tangan kanan akibat ditetak.

Mangsa dipercayai ditetak dengan parang apabila cuba melawan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk dari tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu.

Berita berkaitan:

  • Arwah minta terbitkan buku Panduan Mudah Membaca al-Quran
  • Mangsa cuba melawan perompak
  • Maut ditetak perompak
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 5:10 PM