Norazmina Teh tidak takut dan geli dengan iguana malah amat menyayanginya.
Norazmina Teh tidak takut dan geli dengan iguana malah amat menyayanginya.
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: "Memiliki ijazah bukan halangan untuk membersih dan mencuci kandang haiwan berikutan jiwa saya yang penyayang terhadap reptilia tidak dapat dipisahkan sejak kecil, "kata Norazmina Teh, 25, yang juga graduan Universiti Malaysia Sarawak.

Baginya, kerja berkenaan dilakukan dengan penuh dedikasi dan ikhlas selepas dia menerima jawatan sebagai pembantu haiwan di Eco-Vision, Zoo Melaka awal tahun ini.

Menurutnya, dia yang terbabit secara langsung dengan penjagaan haiwan eksotik termasuk mengadakan pertunjukan bersama iguana, ular sawa, musang, binturung selain burung helang, merpati dan kenyalang menganggapnya sebagai punca rezeki yang amat dihargai.

Katanya, dengan rutin tugas mencuci kandang, memandikan, memberi makan, minum dan menjinakkan haiwan setiap hari itu dianggap sebagai saluran dan kesempatan untuknya memahami jiwa haiwan berkenaan.

"Malah saya tidak pernah berasa terbeban dengan tugas berkenaan kerana ia sesuai dengan hobi dan naluri yang mengemari kehidupan haiwan terbabit.

'Saya dibesarkan dengan dokumentari haiwan sejak kecil terutama siri The Crocodile Hunter yang selalu saya tonton sehingga selebriti dan juga penjinak haiwan rancangan terbabit, Steve Irwin menjadi sumber inspirasi dan idola saya yang kemudian diteruskan ketika pengajian dalam jurusan zoologi," katanya yang masih bujang.

Anak bongsu daripada enam adik-beradik berasal dari Tambun, Ipoh itu mengakui tugas terbabit memang mencabar bermula dengan proses memberi makan sehingga membersihkan kandang.

Namun dia gembira 'berkawan' dengan haiwan berkenaan yang disifatkannya memerlukan kasih sayang dan belaian sehingga boleh menerima arahan dan mengenali individu yang rapat dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 5:52 PM