Michael Tay Chee Boon mahu pihak berwajib lebih tegas dalam menagangani isu pencemaran sungai.
Michael Tay Chee Boon mahu pihak berwajib lebih tegas dalam menagangani isu pencemaran sungai.
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Isu pencemaran sungai oleh pihak tidak bertanggungjawab yang seolah-olah tidak berkesudahan di negeri ini hanya boleh ditangani melalui penguatkuasaan yang ketat.

Ini kerana isu itu tidak boleh dipandang ringan memandangkan ia menjejaskan ratusan ribu penduduk negeri ini apatah lagi jika ia membabitkan kualiti dan tahap keselamatan bekalan air bersih.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, sewajarnya pihak yang melakukan pencemaran sumber air itu dikehendaki menanggung kos pembersihan dan baik pulih sungai yang mereka cemari.

Katanya, jika ada kilang dikesan melakukan pencemaran dan terbukti bersalah, pemiliknya bukan sahaja dikenakan denda, tetapi turut menanggung kos membersihkan sungai.

"Jika mereka melakukan kesalahan berulang, kerajaan negeri boleh bertegas mengarahkan kilang ditutup terus atau memindahkan mereka ke kawasan lain.

"Sungai adalah sumber air bersih yang perlu dijaga untuk kehidupan rakyat bukannya menjadi 'longkang' bagi kilang untuk membuang sisa industri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Di Johor, sebanyak 18 sungai dikategorikan Kelas 4 iaitu hanya sesuai untuk pengairan manakala 47 lagi dalam Kelas 3 yang memerlukan rawatan intensif.

Malah 59 sungai di negeri ini berada dalam Kelas 2 iaitu air sungai memerlukan rawatan konvensional.

Johor mempunyai 399 jumlah sungai namun tidak semuanya dipantau dan diawasi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor secara terperinci.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 6:24 PM