Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperoleh maklumat mengenai latar belakang kematian lelaki bukan warga negara berusia 130 tahun daripada keluarga beliau dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM ingin memberi pencerahan mengenai kematian ke-352 (iaitu kes ke-35037) di Sabah yang membabitkan seorang lelaki bukan warga negara yang dilaporkan berusia 130 tahun.

Menurutnya, kematian arwah disahkan oleh Hospital Tuaran.

"Maklumat mengenai latar belakang arwah diperolehi daripada keluarga beliau dan pihak berkuasa tempatan.

"Memandangkan arwah tidak mempunyai sebarang dokumen pengesahan diri yang sah, maklumat yang diterima adalah terhad, termasuklah usia arwah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan lelaki bukan warga negara berusia 130 tahun dan kanak-kanak perempuan bukan warga negara berusia empat tahun antara empat kes kematian dilaporkan akibat Covid-19.

Bagaimanapun ia mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai dan netizen yang mempertikai kesahihan usianya.

Berita berkaitan

'Betul, ayah saya berusia 130 tahun'

Covid-19: Lelaki usia 130 tahun meninggal dunia di Hospital Tuaran

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 6:33 PM