OP pematuhan SOP di restoran sekitar Jempol oleh polis, MPJL dan RELA. FOTO IHSAN IPD JEMPOL
OP pematuhan SOP di restoran sekitar Jempol oleh polis, MPJL dan RELA. FOTO IHSAN IPD JEMPOL
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Dua pemilik restoran di daerah ini dikompaun selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kesalahan dilakukan pemilik restoran itu adalah tidak menyediakan penyukat suhu badan selain gagal memastikan penjarakan fizikal pelanggan.

Katanya, kedua-dua pemilik dikompaun RM1,000 dan jika gagal membayar dalam tempoh 14 hari, boleh didakwa mahkamah.

"Sebanyak 50 restoran di daerah ini diperiksa dalam Op Pematuhan SOP malam tadi yang membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

"Kedua-dua pemilik restoran dikompaun mengikut Seksyen 11(2) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selepas tidak mengambil tindakan bagi mencegah dan mengawal penyakit berjangkit," katanya.

Menurutnya, polis bersama agensi berkaitan akan kerap mengadakan Op Pematuhan bagi memastikan aktiviti perniagaan mematuhi SOP ditetapkan sepanjang tempoh PKPB.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 6:36 PM