VICTOR menghuni Pusat Jagaan Pertubuhan Shemariah, Kuala Pilah. FOTO Mohd Khidir Zakaria
VICTOR menghuni Pusat Jagaan Pertubuhan Shemariah, Kuala Pilah. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Kuala Pilah: Pesara guru Bahasa Inggeris yang pernah mengajar di luar negara dan sekolah swasta di Port Dickson, memilih menghabiskan usianya tinggal di Pusat Jagaan Pertubuhan Shemariah, Kuala Pilah.

S Vijia Kumar @Victor, 71, berasal dari Teluk Intan, Perak adalah penghuni warga emas pusat jagaan yang menempatkan 40 kanak-kanak yang berumur setahun hingga 18 tahun serta tiga warga emas sejak tujuh tahun lalu.

Memiliki perwatakan yang peramah dan ceria, Victor adalah bekas guru Bahasa Inggeris yang sudah berkhidmat selama lebih 40 tahun di dalam dan luar negara.

"Saya memulakan kerjaya sebagai guru di sebuah sekolah di Taiping, Perak dan kemudiannya mengajar di beberapa tempat di seluruh negara sebelum berpindah ke Brunei untuk mengajar di sana selama enam tahun.

"Selepas itu saya pulang ke Malaysia untuk mengajar di sebuah sekolah swasta di Port Dickson dan seterusnya berpindah mengajar di Medan, Indonesia selama lima tahun pula," katanya yang memperoleh ijazah dalam bidang bahasa ketika di Brunei melalui program pengajian luar kampus dari Universiti Brunei.

Katanya, pekerjaan sebagai guru benar-benar memberikan pengalaman terbaik yang tidak dapat dilupakannya.

"Melihat bekas pelajar saya berjaya adalah hadiah terindah dalam hidup.

"Sehingga kini, saya masih berhubung dengan sebahagian bekas pelajar saya di Brunei dan Indonesia melalui media sosial," katanya ketika menerima kunjungan dan sumbangan daripada Program Sentuhan Kasih Deepavali dianjurkan bersama oleh Yayasan Petronas dan Petronas Dagangan Berhad, baru-baru ini.

Victor berkata, selepas kembali dari Medan, Indonesia, dia terus menetap di pusat jagaan itu kerana tidak mempunyai keluarga dan menganggap anak di pusat jagaan itu seperti anaknya.

"Saya memilih untuk berada di sini kerana saya sukakan kanak-kanak dan saya ingin berkongsi cerita serta pengalaman di samping membantu mereka untuk berjaya.

"Kehadiran Petronas ke Pusat Jagaan Pertubuhan Shemariah, Kuala Pilah ini amat bererti bagi kami dan disambut baik semua penghuni pusat jagaan ini.

"Saya sangat berterima kasih di atas bantuan yang diberikan dan cukup bermakna bagi saya serta anak-anak pusat jagaan ini untuk meneruskan kehidupan, terima kasih Petronas atas sumbangan ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Selatan, Sazli Zakaria berkata, program itu adalah tanggungjawab sosial korporatnya di bawah Yayasan Petronas.

"Kami akan terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat B40 untuk membantu meringankan beban mereka.

"Seramai lebih 400 kanak-kanak dan warga emas dari lapan negeri menerima sumbangan berupa makanan dan keperluan asas serta barangan 'hygiene kits' sempena sambutan Deepavali 2020 baru-baru ini.

"Ia dianjurkan sempena sambutan perayaan utama di Malaysia untuk memupuk semangat bekerjasama Yayasan Petronas dengan komuniti tempatan dalam menyediakan keperluan asas demi kesejahteraan hidup mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 7:05 PM