Ismail Sabri.
Ismail Sabri.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sejak 24 Julai lalu hingga semalam, seramai 77,211 individu pulang dari ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dari 36 negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang pulang ditempatkan di pusat kuarantin iaitu di 79 hotel dan 18 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 10,611 individu masih menjalani proses kuarantin wajib, 405 dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut manakala 66,195 lagi sudah dibenarkan pulang.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-257 dan hari ke-173 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 654 pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (457), pemborong (164) dan pengilang (33).

Katanya, secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara serta mudah diperolehi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 7:12 PM