ANGGOTA bomba membawa keluar pekerja warga Bangladesh yang dihempap dinding konkrit. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba membawa keluar pekerja warga Bangladesh yang dihempap dinding konkrit. FOTO ihsan bomba
Nur Izzati Mohamad


Batu Kawan: Dua lelaki Bangladesh yang melakukan kerja pengubahsuaian kedai serbaneka di dalam sebuah kolej di Bandar Cassia, di sini, cedera dihempap dinding konkrit yang runtuh, petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.05 petang memaklumkan kejadian menimpa dua pekerja asing berusia lingkungan 40-an berkenaan.

"Sepasukan anggota bersama komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan ke lokasi untuk operasi menyelamat.

"Ketika tiba didapati dua mangsa terperangkap di bawah runtuhan terbabit dan kerja menyelamat dijalankan dengan mengangkat sisa konkrit.

"Seorang mangsa mengalami kecederaan pada kaki manakala seorang lagi cedera parah apabila pergelangan tangan kanan hancur dan kecederaan di muka," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, punca kejadian runtuhan itu masih dalam siasatan.

Difahamkan, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 7:12 PM