PENGERUSI MPKK Kampung Pasir Puteh, Rosli Othman meninjau keadaan rumah penduduk kampung yang terjejas akibat banjir termenung di Kampung Padang Garam Merchang. FOTO BERNAMA
PENGERUSI MPKK Kampung Pasir Puteh, Rosli Othman meninjau keadaan rumah penduduk kampung yang terjejas akibat banjir termenung di Kampung Padang Garam Merchang. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Marang: Meskipun cuaca kini kembali cerah dan panas sejak empat hari lalu, penduduk di Kampung Padang Garam, di sini masih 'terperangkap' di pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan paras air di kawasan rumah masing-masing tidak banyak berubah.

Ia berikutan satu fenomena dikatakan sebagai 'banjir termenung' apabila air bagaikan bertakung di seluruh kampung dan tidak dapat mengalir ke mana-mana.

Penduduk kampung, Napisah Said, 71, berkata dia terpaksa tinggal di PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang di sini, sejak 24 November lalu iaitu hari pertama banjir gelombang kedua melanda Terengganu sehingga hari ini, berikutan rumahnya masih dinaiki air hingga satu meter.

"Pada hari pertama banjir, air naik ke rumah hingga 1.3 meter, hari ini air surut sedikit. Bila makcik tengok orang lain dapat pulang ke rumah, makcik pun berasa tidak sabar hendak pulang sehingga siap mengemas pagi tadi.

"Namun tengah hari tadi penghulu kampung beritahu tidak boleh balik lagi sebab air masih dalam.

"Kecewa makcik kerana bosan tidak dapat berbuat apa-apa di sini (PPS). Selalunya banjir 'termenung' antara seminggu hingga dua minggu.

"Paling lama sebulan. Harapnya kali ini tidak sampai sebulan.

Jika tidak makcik pun turut 'termenung' sekali," katanya secara berjenaka ketika ditemui Bernama di PPS SMK Merchang, hari ini.

Warga emas itu yang tinggal bersendirian berikutan lima anaknya sudah berkahwin dan menetap di kawasan lain berkata, banjir 'termenung' adalah situasi biasa dihadapinya sejak tinggal di Kampung Padang Garam kira-kira 40 tahun lalu.

Napisah berkata, dia tidak pernah membeli sebarang perabot seperti sofa di rumahnya kerana enggan menanggung kerugian akibat rosak setiap kali musim banjir.

Sementara itu, Puteri Yasmin Abdul Mubi, 29, berkata situasi banjir termenung itu turut menenggelamkan kebun tembikainya seluas kira-kira dua hektar yang terletak di sekeliling rumahnya.

"Hujan hanya dua hari sahaja tetapi hendak tunggu air betul-betul surut ambil masa lebih seminggu. Nasib baik rumah saya tidak dimasuki air kerana rumah dibina tinggi, tetapi halaman rumah masih dinaiki air hingga ke 0.3 meter," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pasir yang turut merangkumi Kampung Padang Garam berkata, banjir termenung yang menjejaskan kira-kira 16 penduduk dari tujuh rumah itu berlaku disebabkan kedudukan kampung itu yang terlalu rendah.

Beliau berkata, selain itu ia disebabkan aktiviti pembalakan pokok gelam di sekitar Kampung Padang Garam oleh individu tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan sistem perparitan tersumbat, sekali gus mengakibatkan air dari kawasan banjir tidak dapat mengalir ke Sungai Merchang.

"Sistem perparitan itu sering dibaiki, tetapi selagi ada aktiviti pembalakan haram, masalah banjir 'termenung' tidak akan selesai.

"Mereka yang membalak secara haram ini akan ambil batang pokok gelam yang besar manakala ranting dan daun ditinggalkan begitu sahaja menyebabkan air banjir tersekat oleh sisa-sisa pokok itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 7:21 PM