Haziqah Nurul Huda Harun (kiri) dengan penampilan barunya. FOTO IHSAN HAZIQAH
Haziqah Nurul Huda Harun (kiri) dengan penampilan barunya. FOTO IHSAN HAZIQAH
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: "Saya berasa lebih tenang sekarang sejak tinggal bersama pelajar di Madrasah al-Hafizah," kata Haziqah Nurul Huda Harun ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Haziqah Nurul Huda atau lebih mesra dipanggil Yaya, 23, berkata, dia memanfaatkan sepenuhnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sepanjang tahun ini untuk mendalami ilmu agama dan menajamkan lagi hafalan al-Quran bersama guru dan pelajar di madrasah itu.

"Saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menyambung semula pengajian dalam bidang agama sambil berkhidmat secara sukarela di sini.

"Sebelum ini sibuk menguruskan perniagaan, tetapi sekarang sejak PKPP dan PKPB banyak masa terluang memandangkan pergerakan terhad.

"Urusan pengendalian syarikat saya serahkan kepada pekerja berpengalaman iaitu pekerja awal bersama saya sejak tertubuhnya syarikat dan saya memantau dari jauh serta menyelesaikan urusan penting sahaja," katanya.

Yaya berkata, selain menajamkan hafalan dan bacaan al-Quran, dia belajar mendalami dan menghayati setiap isi kandungan al-Quran supaya lebih memahami setiap surah di dalam kitab itu.

Menurutnya, pada masa smaa, dia sudah menyerahkan kad orang kurang upaya (OKU) yang pernah dimilikinya sejak sembilan tahun lalu selepas mampu berjalan semula tanpa menggunakan tongkat sejak awal tahun lalu.

"Genap setahun saya boleh berjalan semula selepas sembilan tahun terpaksa menggunakan kerusi roda.

"Bukan sahaja boleh berjalan, saya sudah mempunyai lesen memandu kenderaan termasuk kereta dan motosikal berkuasa tinggi.

"Saya tidak mahu lagi menyusahkan dan bergantung harap pada pertolongan orang seperti dulu dan ingin menjadi wanita kuat dan berdikari seperti orang lain," katanya.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan, Yaya dikenali selepas mengusahakan perniagaan kuih bakul dan kuih bulan yang menjadi makanan wajib bagi kaum Cina setiap kali menjelang perayaan Tahun Baru Cina.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 8:13 PM