RUMAH baharu untuk keluarga M Busra bakal siap dalam masa terdekat ini. FOTO Ramli Ibrahim
RUMAH baharu untuk keluarga M Busra bakal siap dalam masa terdekat ini. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: "Alhamdulillah, saya sekeluarga bakal dapat tinggal di rumah baharu yang lebih selesa dalam masa terdekat ini,"kata M. Busra Mohamed, 50.

Rumah barunya yang dibina menerusi Program Bantuan Rumah (PBR) dan terletak tidak jauh dari rumah asalnya dalam persiapan di peringkat akhir.

M Busra mengakui tidak sanggup lagi tinggal di rumah usang di tanah rizab tepi Sungai Galas, Kampung Lembaga di sini, kerana beratap bocor.

"Saya 10 beranak tinggal di rumah yang dibina sendiri daripada kayu dan zink terbuang.

"Saya juga tidak mampu membina rumah lebih selesa kerana pendapatan bergantung kepada upah menoreh getah sekitar RM600 sebulan," katanya ketika ditemui di rumah uzurnya, di sini, hari ini.

Sebelum itu, dia dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim yang memaklumkan pembinaan rumah baharu itu.

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) juga membina tempat tinggal yang lebih selesa untuk tiga lagi keluarga miskin.

Dalam laporan Harian Metro awal tahun ini, keluarga miskin itu terpaksa catu makanan selain mencari tempat perlindungan kerana atap bocor.

Dia berkata, amalan sarapan pagi minum teh 'O' dicicah biskut kering masih diteruskan sehingga sekarang.

"Anak saya sudah biasa dengan keadaan itu dan tidak pernah meminta makanan lebih daripada yang disediakan sekadar mampu," katanya.

Katanya, isterinya, Siti Suhaiziah Ramli, 41, menjadi suri rumah sepenuh masa dan menjaga lapan anak berumur satu hingga 14 tahun.

Berita berkaitan:

  • 10 beranak bakal dapat rumah Kesedar
  • 10 beranak catu makan di rumah usang
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 10:43 AM