KERATAN laporan sebelum ini.
KERATAN laporan sebelum ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tiga sekeluarga yang cedera dipukul lelaki Nigeria di Apartmen Villa Danau, Setapak di sini, semalam masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut jiran keluarga itu Idayu Ismail, 24, dia dimaklumkan perkembangan berkenaan oleh seorang lagi ahli keluarga mangsa yang ditemui di balai polis ketika hadir memberi keterangan.

"Dia memaklumkan ibunya dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala kakak sulungnya yang berusia 29 tahun dirawat di hospital sama selain adik bongsunya berusia lapan tahun," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, kira-kira 8 malam semalam, wakil keluarga itu ada pulang ke rumah berkenaan untuk mengemas dan mengambil barang serta mengunci kediaman terbabit.

"Mereka tidak lagi tinggal di situ. Setakat ini pun tidak dimaklumkan di mana arwah Muhammad Adam (Muhammad Adam Sufi Muhd Norkhusairi, 4) akan dikebumikan selepas bedah siasat selesai," katanya.

Dalam kejadian 8 pagi semalam, Muhammad Adam Sufi meninggal dunia selepas dicampak datuk tirinya yang juga warga Nigeria dari tingkat tiga apartmen berkenaan.

Suspek juga mencederakan tiga ahli keluarga mangsa sebelum terjun daripada tingkat sama dan ditangkap penduduk serta diserahkan kepada polis.

Berita berkaitan:

  • Budak maut dicampak dari tingkat 4
  • Baling telefon sebelum campak budak [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 1:10 PM