Suraya Roslan


Serdang: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memenangi empat pingat emas dan satu perak bagi inovasi hasil penyelidikan di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2020.

Inovasi yang memenangi pingat emas ialah pembungkus boleh dimakan untuk aplikasi makanan, Varieti Padi MARDI Sebernas 307, baka kambing baharu Katjang-Boer dan Inovasi Makanan untuk Penuaan yang Sihat.

Pingat perak pula dirangkul melalui teknik pembiakan berkesan bagi penghasilan Arundina graminifolia secara massa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor berkata, kemenangan MARDI dalam ITEX 2020 membuktikan teknologi dan inovasi dihasilkan puluhan penyelidik institut itu berkonsepkan dari 'makmal ke meja hidangan'.

"Teknologi dan inovasi kami bukan saja digunakan golongan sasar malah mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai usaha menjamin sekuriti makanan negara kita," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Mardi, di sini, hari ini.

Memperincikan inovasi yang memenangi pingat emas, Dr Mohamad Roff berkata, pembungkus boleh dimakan untuk aplikasi makanan adalah teknologi filem diaplikasi sebagai bahan pembungkus kiub asam pedas, sarung sosej, bahan pembungkus minuman segera, bahan pembungkus nasi kerabu segera dan sebagainya.

"Ia boleh dimakan bersama produk makanan yang dibungkus dan boleh diuraikan.

"Selain itu, teknologi makanan yang turut mendapat emas adalah inovasi makanan untuk penuaan yang sihat dengan nutrisi spesifik iaitu tinggi protein, fiber dan anthocyanins," katanya.

Katanya, produk makanan dihasilkan adalah tepung pracampuran puding-jeli tinggi protein, bar tinggi protein dan serat dan ais konfeksi bebas laktosa serta susu.

"Makanan ini mempunyai ciri-ciri baik kesihatan untuk menghadapi hari tua dan inovasi makanan pertama direka mempunyai nutrisi kesihatan untuk warga emas di Malaysia.

"Selain itu, Varieti Padi MARDI Sebernas 307 adalah salah satu daripada 50 varieti padi diisytihar MARDI yang diperkenalkan pada 2018 selepas pembangunan selama 22 musim.

"Sebernas 307 mempunyai hasil yang tinggi sehingga mencapai 10 tan per hektar, peratus biji bernas tinggi (82 peratus), sederhana rintang terhadap penyakit karah dan benah perang serra mengurangkan kebergantungan penggunaan racun kawalan kimia," katanya.

Menurutnya, benih Sebernas 307 sudah dijual kepada sembilan syarikat tempatan untuk dikomersialkan dan ditanam.

"Selain daripada tanaman dan makanan, Baka Kambing Baharu Katjang-Boer juga memenangi emas berikutan baka ini sesuai dengan iklim Malaysia, mempunyai ketahanan yang tinggi terhadap penyakit dan parasit serta mempunyai prestasi pembiakan dan pertumbuhan lebih baik.

"Ciri karkasnya setanding dengan kambing boer dengan badan lebih berotot, kurang lemak serta kurang bau hamis. Baka ini boleh dibiakkan pada umur lebih awal iaitu 10 bulan," katanya.

Menurutnya, kemenangan MARDI diumumkan pada 21 November lalu oleh penganjur dan pihaknya komited untuk membangunkan teknologi dalam industri pertanian dan agro makanan sebagai peranan penting penyelidikan dan pembangunan terhadap sekuriti negara.

Pemenang pertandingan ITEX 2020, (dari kiri) Shamsul Amri Saidon, Noor Zainah Adzaly, Mohamad Hifzan Rosali, Dr Khairunizah Hazila Khalid, Tun Norbrillinda Mokhtar dan Sakinah Idris. FOTO Aziah Azmee
Pemenang pertandingan ITEX 2020, (dari kiri) Shamsul Amri Saidon, Noor Zainah Adzaly, Mohamad Hifzan Rosali, Dr Khairunizah Hazila Khalid, Tun Norbrillinda Mokhtar dan Sakinah Idris. FOTO Aziah Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 2:16 PM