GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menerima 51 aduan mangsa yang mendakwa maklumat peribadi mereka disalahguna ejen syarikat telekomunikasi hingga menyebabkan mereka mengalami tunggakan bil telefon berjumlah RM547,436.

Setiausaha CAKE Mohamad Yusrizal Yusuff berkata, ejen yang beroperasi di premis di sebuah pasar raya di sini, dipercayai mendaftarkan nama mangsa yang berusia antara 20-an hingga 30-an bagi mendapatkan talian telefon.

Menurutnya, semua mangsa yang berasal sekitar Alor Setar, Kubang Pasu dan Yan mendakwa ejen syarikat telekomunikasi terbabit menyalahgunakan cap jari bagi mendaftarkan talian tanpa pengetahuan mereka.

"Ada talian yang didaftarkan bersama pakej peranti seperti telefon bimbit dan jam pintar, pengguna tidak tahu menahu mengenai pendaftaran ini sehingga mereka mendapat surat peguam menyatakan terdapat tunggakan bil mencecah puluhan ribu ringgit.

"Ada seorang mangsa terkejut dan merasa teraniaya apabila menerima bil RM26,000 sebelum bertindak ke kedai telekomunikasi terbabit, namun jurujual menyatakan ia adalah 'scam'.

"Apabila pemeriksaan lanjut dibuat di syarikat telekomunikasi, nama mereka sudah disenarai hitam dan tindakan undang-undang bakal diambil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Yusrizal berkata, disebabkan jumlah tunggakan bil yang tinggi, kebanyakan mangsa kini hidup dalam tertekan menyebabkan mereka membuat laporan kepada CAKE sejak minggu lalu.

"Mangsa menjelaskan mereka hanya mendaftar talian biasa di kedai telekomunikasi terbabit dan tidak menyedari nama mereka sudah diguna pihak ketiga bagi permohonan talian lain.

"Ada antara mangsa sudah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kita harap pihak berkuasa akan siasat kes ini secara terperinci bagi mengelak pengguna menjadi mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 2:25 PM