MUSA. FOTO Arkib NSTP
MUSA. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai peraturan disiplin yang ketat termasuk memohon kebenaran untuk membeli dan mengisytihar harta dimiliki.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, perintah dan kawalan terhadap pegawai serta anggota sudah tersedia.

"Namun ia perlu diimplementasikan dengan pemantauan tegas oleh pihak yang berkaitan.

"Semua penjawat awam mempunyai tata disiplin untuk mencegah dari penyelewengan," ciapnya menerusi laman twitter peribadinya.

Menurutnya, jika pegawai atasan bersih dan tegas ia akan dapat memulihkan keadaan serta mengembalikan kepercayaan masyarakat.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan ada segelintir pegawai dan anggota mengamalkan gaya hidup berlebihan walaupun tidak setara dengan jawatan dan gaji bulanan yang diperoleh.

Cara hidup 'ala orang kaya' itu dengan bangganya dikongsikan menerusi laman sosial peribadi masing-masing, sehingga mendatangkan tanda tanya terutama dalam kalangan orang awam, tentang sumber kekayaan yang diperoleh untuk membiayai perkara itu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya dilaporkan berkata, pihaknya sedang memantau rapi trend itu untuk mengekang salah laku dalam kalangan anggota dan pegawainya, demi menjaga intergriti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya diberitahu ada anggota sering bermain golf selain membuat taruhan dalam aktiviti itu. Kalau dilihat bermain di kelab golf bertaraf sederhana sahaja, sekali bermain memerlukan kos RM200… kalau sebulan dah berapa perbelanjaan digunakan?

"Ada juga yang didapati kerap ke luar negeri untuk bermain sukan berkenan sedangkan ia melibatkan pembiayaan tinggi. Apabila diperiksa berdasarkan jawatan atau pendapatan, sebenarnya mereka tidak mampu untuk menampungnya," katanya.

Berita berkaitan:

  • Anggota, pegawai polis 'hidup mewah' dipantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 3:06 PM