Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Walaupun belum ada jangkitan membabitkan pengangkutan dalam gelombang ketiga Covid-19 namun orang ramai tetap perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di tempat sesak bagi mengelak daripada dijangkiti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes jangkitan Covid-19 membabitkan pengangkutan pernah berlaku ketika gelombang kedua iaitu kluster PUI Melbourne yang dijangkiti ketika berada dalam kapal terbang.

"Jadi kemungkinan itu boleh berlaku dan sebab itu perlu patuh SOP apabila berada di tempat sesak atau sempit kerana jangkitan boleh terjadi.

"Langkah pencegahan amat penting bagi mengelak mereka dan keluarga dijangkiti," katanya pada sidang media harian Covid-19, hari ini.

Untuk rekod, ketika gelombang kedua Covid-19, seorang penuntut warganegara Malaysia iaitu kes ke-8,749 yang pulang dari Australia didapati positif Covid-19.

Penuntut terbabit dilaporkan menaiki dua pesawat, iaitu dari Melbourne ke Kuala Lumpur dan kemudiannya dari Kuala Lumpur ke Kuching sebelum dikuarantin sebaik tiba.

Ujian saringan mendapati dia positif Covid-19 pada 17 Julai lalu.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 8:26 PM