Zaid Salim


Chukai: "Kami tak tidur pada malam, bimbang air semakin naik berikutan hujan sangat lebat dan anak terpaksa tidur di loteng tempat menyimpan barang," kata Rosinah Hassan, 59,.

Rosinah antara lebih 400 mangsa banjir yang menjadi penghuni Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila rumah mereka di Kampung Teladas, di sini, ditenggelami air sedalam tiga meter dalam kejadian banjir, Jumaat lalu.

Menurut Rosinah, banjir tahun ini melanda tanpa sebarang amaran seperti yang berlaku pada 2013 dan 2014.

Katanya, banjir pada 2013 lebih besar berbanding tahun ini tetapi mereka sekeluarga tidak panik kerana sudah bersedia untuk berpindah, manakala barangan berharga dan elektrik sudah disimpan di loteng.

"Loteng ini dibuat untuk meletak barang-barang kerana kampung ini setiap tahun dilanda banjir, cuma bezanya sama ada kecil atau besar sahaja.

"Pada 2013, tiga kali kampung ini dinaiki air namun, kali pertama dan kedua hanya memenuhi perkarangan rumah sahaja dan ia bagaikan amaran tetapi pada kali ketiga baharu banjir besar sehingga rumah kami hanya tinggal bumbung sahaja.

"Tetapi kali ini air datang secara mengejut tanpa sebarang amaran, sekali datang terus menenggelamkan sebahagian rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Rosinah berkata, air naik terlalu cepat menyebabkan dia bersama suami, Tarmizi Jaafar, 58, dan adik, Yusof Hassan, 28, terpaksa mengharung air dalam rumah separas lutut ketika memindahkan barang ke loteng sebelum diselamatkan pasukan keselamatan jam 12 tengahari.

Menurutnya, walaupun air sudah surut, mereka masih bimbang dan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana khuatir air akan naik semula.

Katanya, semua barangan dalam rumahnya masih disimpan di loteng dan mengambil barangan yang perlu sahaja.

"Saya tidak turunkan semua barang kerana tidak mahu kelam kabut sekiranya banjir semula," katanya.

YUSOF bersama iparnya, Azizi mengambil barangan yang diperlukan yang disimpan di loteng bagi mengelak ditenggelami banjir. FOTO Zaid Salim
YUSOF bersama iparnya, Azizi mengambil barangan yang diperlukan yang disimpan di loteng bagi mengelak ditenggelami banjir. FOTO Zaid Salim

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 8:58 PM