PASUKAN bomba melakukan pengesanan kedudukan kereta dan mangsa dengan bantuan penduduk setempat. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN bomba melakukan pengesanan kedudukan kereta dan mangsa dengan bantuan penduduk setempat. FOTO Ihsan Bomba
Erika George


Bintulu: Sebuah kereta dipercayai terjunam dalam Sungai Batang Kemena, di sini, selepas terjatuh dari Jeti Jabatan Kerja Raya (JKR) malam ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 8.03 malam.

Katanya, seramai 9 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu yang diketuai Komander Operasi Stephen Plen bergerak ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

"Sebelum itu, saksi kejadian ternampak kereta terbabit berhenti di pinggir jeti berkenaan sebelum membelok ke kanan dan terjunam ke dasar sungai.

"Siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui pemilik kenderaan serta individu dalam kenderaan itu," katanya.

Menurut kenyataan itu, pasukan bomba dengan bantuan penduduk tempatan memulakan usaha pencarian bagi mengesan kedudukan kereta di dasar sungai.

"Sekiranya kereta masih gagal dijumpai, esok usaha pencarian akan diteruskan dengan teknik selaman.

"Ketika ini, selaman tidak dapat dijalankan pada sebelah malam kerana mengambil kira faktor air sungai yang dera, selain ancaman buaya," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Christus Buson berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa dalam kenderaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 11:07 PM