FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kerajaan Johor sudah menyusun aktiviti termasuk kejohanan sukan terbuka bagi memastikan infrastruktur, kemudahan dan fasiliti sukan yang siap dibangunkan untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2020, tidak menjadi projek gajah putih.

Pengerusi Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata langkah itu dibuat selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan untuk membatalkan Sukma 2020 yang dijadualkan berlangsung awal tahun hadapan berikutan penularan wabak Covid-19.

Katanya, kerajaan Johor akur dengan keputusan pembatalan itu walaupun ia ketetapan yang yang amat berat kerana negeri ini sudah bersiap sedia menjadi tuan rumah terbaik dalam sejarah penganjuran Sukma.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memanfaatkan segala kemudahan dan fasiliti sukan yang sudah siap dibina dengan sebaiknya serta memastikan infrastruktur dan kemudahan sukan diselenggarakan dengan baik dan tidak menjadi projek gajah putih.

"Sebanyak RM6.45 juta juga sudah diperuntukan tahun hadapan bagi tujuan penyelanggaraan kemudahan dan venue Sukma ini.

"Kemudahan dan venue Sukma itu juga akan menjadi tempat latihan atlet Johor di bawah program Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) selain digunakan sebagai venue pertandingan tempatan sepanjang tahun 2021 sehingga menjelang Sukma Johor 2022 nanti.

"Beberapa kejohanan juga sudah disusun dan bakal diadakan di fasiliti baharu ini seperti Kejohanan Renang Piala Datuk Bandar 2021 di Pusat Akuatik Arena Larkin Johor Bahru, Kejohanan Tinju Piala Datuk Bandar 2021 dan Kejohanan Badminton Remaja Kebangsaan 2021 di Stadium Tertutup Arena Larkin.

"Johor juga akan menganjurkan Kejohanan Lawn Bowls Terbuka Johor di Pusat Lawn Bowl Arena Emas, Taman Impian Emas, King of Desaru MTB 2021 di Kramsau, Desaru, Kejohanan Olahraga MSSD & MSSJ di Stadium Olahraga, Kompleks Sukan Johor, Johor Rugby Carnival 2021 di Stadium Ragbi Kompleks Sukan Johor, Kejohanan Junior Cycling 2021 dan Kejohanan International Open BMX 2021 di Velodrom Trek BMX Johor, Iskandar Puteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Khuzzan Abu Bakar (PKR-Semerah) dan K Raven Kumar (BN-Tenggaroh) yang mahu tahu apa perancangan kerajaan negeri dalam memastikan venue Sukma 2020 tidak menjadi gajah putih pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, di sini, hari ini.

Sebanyak 39 venue atau kemudahan sukan disediakan bagi Sukma 2020 Johor dengan 13 venue adalah venue yang dibina baru, 17 venue pula dinaiktaraf dan sembilan lagibadalah venue sedia ada.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Layang-Layang berkata, kerajaan negeri menerusi MSNJ memperuntukkan insentif secara one-off minimum RM500 kepada atlet, jurulatih dan pegawai Sukma, yang akan memberi manfaat kepada 1,173 penerima.

"Kerajaan negeri menerusi MSNJ juga akan memperuntukkan sebanyak RM288,000 bagi menyediakan peluang pekerjaan kejurulatihan kepada bekas atlet Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 10:27 AM