MD Fairuz Al Syafiq A Rahman, 34, bersama dua isterinya, Rafiah Mustafa, 34, (kiri) dan Rafidah Saidi, 29, (kanan) serta anak mereka, Muhammad Rafiq Ar Zafran, (kiri) dan Muhammad Rizqi Al Qadri (kanan). FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MD Fairuz Al Syafiq A Rahman, 34, bersama dua isterinya, Rafiah Mustafa, 34, (kiri) dan Rafidah Saidi, 29, (kanan) serta anak mereka, Muhammad Rafiq Ar Zafran, (kiri) dan Muhammad Rizqi Al Qadri (kanan). FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: "Punyai dua isteri yang saling memahami dan membantu di antara satu sama lain memang 'rezeki' kepada saya dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini," kata Md Fairuz Al Syafiq A Rahman.

Md Fairuz, 34, berkata dua isterinya,Wan Rafiah Mustafa, 34, dan Rafidah Saidi, 29, saling bekerjasama membantunya menguruskan perniagaan barangan ternakan dan ayam kampung yang dijalankan.

"Alhamdulillah, saya mendapat dua isteri yang boleh berkongsi susah senang bersama sepanjang PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan  Pemulihan (PKPP) sekarang.   "Rafiah ditugaskan menjaga akaun keluar masuk wang dan Rafidah pula membantu mempromosikan perniagaan melalui atas talian (Online).

"Walaupun kedai ternakan tidak dapat beroperasi sepanjang PKP, namun perniagaan kami tetap berjalan seperti biasa dan jualan kekal laris," katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya dekat Kampung Teluk Pasu di sini, semalam.

Tambahnya, dia bersama dua isteri dan dua anaknya iaitu Muhammad Rafiq Ar Zafran, dan Muhammad Rizqi Al Qadri yang masing-masing berusia dua tahun tinggal dalam satu rumah.

"Sejak mengahwini Rafidah pada 2017, saya bersama isteri pertama dan kedua itu tinggal dalam satu rumah.

"Bukan tidak mampu untuk menyewa dua rumah sekali gus, tetapi saya sengaja menempatkan mereka dalam satu rumah supaya saling memahami dan bekerjasama.  "Malah, ia dibuat atas persetujuan mereka demi menjadikan kehidupan bermadu lebih indah dan bahagia seperti sekarang," katanya.

Menurutnya, dia tidak mengamalkan apa-apa ilmu atau petua untuk menyatukan hati ke dua isterinya itu supaya saling menerima dan berbaik-baik.

"Ada orang cakap saya pakai ilmu, tetapi sebenarnya tidak. Cukup sekadar menjadi suami yang bertanggungjawab, budiman dan sentiasa bertolak ansur dengan isteri. "Walaupun saya ketua keluarga, namun tidak semua pendapat dan keputusan saya betul oleh itu perlu juga mendengar dan menerima pendapat isteri-isteri.

"Jika ada masalah, kami terus bermesyuarat mencari jalan penyelesaian terbaik supaya masalah itu tidak berterusan dan menjadi lebih parah," katanya.

Rafiah berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan madunya malah saling tolong menolong dalam segala urusan.

"Sebelum saya memberi kebenaran kepada suami mengahwini Rafidah, saya terlebih dahulu berkawan dengannya selama setahun.

"Saya bersetuju suami berkahwin dengan Rafidah selepas yakin mempunyai keserasian untuk hidup bersama seperti sekarang.

"Berkat hidup bermadu, saya kemudian hamil dan dikurniakan anak sulung selepas enam tahun tidak dikurniakan anak," katanya.

Tambahnya, dia sekarang bukan saja mempunyai anak kandung tetapi juga anak tiri iaitu Muhammad Rizqi yang juga menjadi anak susuannya.

"Muhammad Rizqi menjadi lebih rapat dengan saya kerana dia juga dijaga dan disusukan oleh saya ketika kecil. 

"Begitu juga dengan Muhammad Rafiq yang disusukan oleh Rafidah ketika masih bayi. Mereka dijaga dan disayangi seakan anak kandung oleh itu tidak timbul rasa cemburu dan sebagainya terhadap anak-anak," katanya.

Sementara itu Rafidah berkata, dia sentiasa mengingati pengorbanan Rafiah yang sedia menerimanya sebagai madu.

"Saya faham bukan senang seorang perempuan dengan rela hati menerima seorang madu.

"Oleh itu, dalam banyak perkara, saya tidak terlalu mengambil hati sekiranya suami melebihkan Rafiah berbanding saya.

"Bagaimanapun, suami tidak pernah berbuat demikian malah sentiasa adil dan menjaga perasaan ke dua-dua isterinya," katanya. 

Tambahnya, dia seronok menjalani kehidupan bersama suami, Rafiah dan dua anaknya. "Kelebihan hidup bermadu ialah kami saling bekerjasama dan prihatin dengan prihal masing-masing.

"Kalau saya memasak, Rafiah yang akan menjaga anak-anak dan sebaliknya. Jika saya sakit Rafiah yang tolong jaga dan sebaliknya.

"Sebagai manusia memang ada perasaan cemburu dan sebagainya namun saya sentiasa positif dalam menanganinya, suami pula pandai mengambil hati sekiranya menyedari antara kami ada yang berasa cemburu," katanya.

Menurutnya, dia dan Rafiah tidak menghalang sekiranya suaminya ingin berkahwin lagi.

"Jika ditakdirkan suami berkahwin lagi, saya tidak marah asalkan suami boleh berlaku adil seperti sekarang.

"Bagaimanapun, calon ke tiga itu perlu lulus ujian daripada saya dan Rafiah terlebih dulu kerana jika dia boleh terima suami, dia juga perlu terima dua madunya dan anak-anak dengan seikhlas hati," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 1:22 PM