HUZIR pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Asyraf Hamzah
HUZIR pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO Asyraf Hamzah
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Dalang utama sindiket Macau Scam dan judi dalam talian yang menghubungkan antara sindiket Malaysia dan China antara 130 individu yang ditahan polis dalam operasi khas pada 15 hingga 20 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki berusia 31 tahun dikenali sebagai Chen Dewei itu ditahan bersama enam lagi individu di Mont Kiara, dekat sini ketika operasi dijalankan.

"Suspek ini adalah ketua sindiket Macau Scam serta berperanan sebagai penghubung antara sindiket di Malaysia dan China.

"Pemeriksaan mendapati suspek juga termasuk dalam senarai orang dikehendaki oleh pihak berkuasa China kerana kesalahan Macau Scam," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Huzir berkata, Chen Dewei kini bersama enam yang lain iaitu lima warga China dan seorang warga tempatan masih dalam tahanan mengikut Seksyen 4(2)(a).

"Mereka akan dihadapkan ke Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) 8 Januari depan selepas tamat reman selama 38 hari.

"Susulan tangkapan sindiket berkenaan, polis menerusi Ops Dadu Centre melakukan beberapa serbuan dan menahan 130 individu, 87 daripadanya dikenakan reman mengikut Seksyen 4(2)(a) iaitu selama 38 hari.

"Seramai 19 lagi individu kini masih dalam siasatan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan 13 lagi dibebaskan," katanya.

Huzir berkata, empat individu yang ditahan sebelum iaitu Goh Leong Yeong atau Alvin Goh, Addy Kanna serta dua lagi anggota polis ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selama dua tahun.

"Semua hukuman tahanan selama dua tahun itu diputuskan Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ), Kementerian Dalam Negeri, Jumaat lalu.

"Keempat-empat individu berkenaan akan dihantar ke tiga Pusat Pemulihan Khas (PPK) iaitu di Simpang Renggam, Bentong dan Pokok Sena," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 1:58 PM