HUZIR menunjukkan gambar suspek dalam buruan pihaknya susulan kes itu.FOTO Asyraf Hamzah.
HUZIR menunjukkan gambar suspek dalam buruan pihaknya susulan kes itu.FOTO Asyraf Hamzah.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Suspek utama yang menetak mati bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr Wan Hassan Wan Embong, berjaya ditahan dalam tiga siri serbuan di Setapak dan Semenyih, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, selain suspek utama itu, dua lagi suspek turut ditahan dalam serbuan antara jam 3.30 pagi hingga jam 5 pagi di Jalan Genting Klang, Jalan Air Panas, Setapak dan Jalan Rinching, Semenyih.

"Soal siasat awal ke atas suspek berusia 23 tahun yang ditahan di Jalan Rinching, mendapati dia bertanggungjawab menetak mangsa dalam kejadian berkenaan.

"Polis kini sedang memburu seorang lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai Sugu Thangarajoo berusia 27 tahun," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Huzir berkata, pihaknya percaya dapat menyelesaikan beberapa siri kes samun didalangi kumpulan itu di sekitar Lembah Klang, susulan penahanan semua suspek berkenaan.

"Semalam kita umumkan tangkapan terhadap 10 individu dan mereka juga masih ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes samun lain di sekitar Lembah Klang.

"Salah seorang individu yang ditahan awal pagi tadi adalah individu yang membantu suspek utama melarikan diri ke Semenyih," katanya.

Menurutnya, polis percaya ketika kejadian terdapat empat suspek yang melakukan samun di rumah mangsa dengan dua suspek di dalam rumah, manakala dua lagi menunggu di dalam kenderaan.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi kelmarin, rumah dihuni Dr Wan Hassan dan isteri, Sarifah Yusof, 70, di Bukit Bandaraya, Bangsar dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang.

Suspek yang tidak memakai topeng meminta wang menyebabkan mangsa cuba melawan sebelum ditetak di muka dan leher manakala, isteri mangsa ditetak di bahagian bahu kanan.

Berita berkaitan

10 suspek kes bunuh Dr Wan Hassan ditahan

Penjenayah tetak Dr Wan Hassan diberkas

Penjenayah tetak Dr Wan Hassan, rompak rumah jurutera pula

Perompak disyaki guna laluan belakang

Arwah minta terbitkan buku Panduan Mudah Membaca al-Quran [METROTV]

[Update] Mangsa cuba melawan perompak

Doktor maut ditetak perompak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 2:01 PM