Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Sulaiman Sulong (kiri) ketika menyampaikan mesin pengadun kepada Mariani Sidek (dua kiri) disaksikan Che Ghani (kanan) pada majlis penyerahan bantuan peralatan projek rezeki tani FAMA, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Sulaiman Sulong (kiri) ketika menyampaikan mesin pengadun kepada Mariani Sidek (dua kiri) disaksikan Che Ghani (kanan) pada majlis penyerahan bantuan peralatan projek rezeki tani FAMA, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar


Marang: "Sumbangan mesin pengadun ini membuatkan kami tidak perlu bimbang lagi untuk menerima tempahan laksa dan karipap," kata Mariani Sidek, 42, dari Kampung Bukit Sawa, Binjai Rendah di sini.

Mariani berkata demikian ketika menerima peralatan pemprosesan produk Industri Asas Tani (IAT) Lembaga Kemajuan Pemasaran Pertanian (FAMA) bernilai RM10,000 di kediamannya.

Bantuan berupa mesin pengadun dan mesin pengisar beras serta laksa disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Sulaiman Sulong.

Turut hadir Pengarah FAMA negeri, Che Ghani Che Wan.

Mariani mengakui, sebelum ini, sukar untuk menerima dan memenuhi permintaan pelanggan termasuk pemilik pasar raya berikutan terpaksa melakukan kerja mengadun bahan mentah secara manual.

"Tanpa mesin pengadun, kami hanya mampu menghasilkan 300 hingga 500 biji karipap ikan dan ubi sehari.

"Kami juga terpaksa mendapatkan bekalan laksa dari pembekal di beberapa pasar susulan ketiadaan mesin pengadun.

"Mesin ini memudahkan kami menambah tempahan," katanya.

Sementara itu, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Pengkalan Berangan berkata, kerajaan negeri mewujudkan kumpulan fokus untuk menilai setiap permohonan bantuan rakyat.

Katanya, kumpulan itu akan mendapatkan senarai nama pemohon daripada sistem e-Kasih dan berperanan mencadangkan bantuan diperlukan kepada beberapa agensi kerajaan termasuk FAMA.

"Setakat ini, lapan peserta, masing-masing dua dari Setiu, Marang, Hulu Terengganu dan Dungun menerima bantuan pelbagai peralatan bernilai RM80,000 melalui bantuan peralatan projek rezeki tani," katanya.

Sulaiman berkata, secara keseluruhan, 47 asnaf dan miskin menerima bantuan peralatan daripada pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan melalui program rezeki tani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 3:55 PM