Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. FOTO Arkib NSTP
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil

Seremban: Jumlah pelaburan di Negeri Sembilan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini susut kesan daripada penularan wabak pandemik Covid-19.

Bagi tempoh berkenaan, hanya terdapat 11 projek pelaburan diterima bernilai RM665 juta berbanding RM811.2 juta merangkumi 21 projek bagi tempoh sama, tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penutupan sempadan negeri dan antarabangsa susulan Covid-19 memberi kesan langsung terhadap sektor pelaburan negeri ini.

Beliau berkata, sebanyak RM302.5 juta daripada RM665 juta itu adalah pelaburan asing manakala 362.5 juta lagi pelaburan tempatan.

"Kemasukan pelaburan asing ke negeri ini berkurangan sebanyak 50.3 peratus berbanding tahun lalu, namun pelaburan tempatan meningkat sebanyak 79.1 peratus," katanya pada sesi Pertanyaan Lisan Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) mengenai unjuran digunapakai kerajaan negeri bagi mengawal dan mengimbangi kesan ekonomi berikutan jangkaan penguncupan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Aminuddin (PH-Sikamat) berkata, kerajaan negeri mengambil beberapa inisiatif bagi mengatasinya termasuk pelaksanaan Tahun Melabur Negeri Sembilan 2021 yang akan dilancarkan bulan ini.

Beliau berkata, selain itu, beberapa insentif khas dilaksanakan bagi menyokong usaha menggalakkan pembangunan.

"Ia termasuk penyediaan fasiliti menyeluruh iaitu penyelarasan di peringkat kerajaan bagi membantu pihak swasta di beberapa kawasan selain menyegerakan proses pelaksanaan pembangunan.

"Peruntukan projek pembangunan sebanyak RM150 juta pada tahun hadapan diyakini akan memberi impak besar terhadap rakyat negeri ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 4:02 PM