ANTARA resort yang terdapat di Pantai Hill. FOTO ADZLAN SIDEK
ANTARA resort yang terdapat di Pantai Hill. FOTO ADZLAN SIDEK
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk melakukan proses pemutihan terhadap resort beroperasi di atas bukit di Pantai Hill, di sini, bagi memastikan semua pengusaha berkenaan memiliki lesen.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, tindakan itu diambil kerana didapati 12 daripada 13 resort beroperasi di situ belum mendapat kelulusan merancang (pembinaan) diperakui Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

"Hanya sebuah sahaja daripada 13 resort beroperasi di Pantai Hill yang dimiliki Halen Marion Todd, mempunyai kelulusan pelan kebenaran merancang.

"Manakala 12 lagi pengusaha perlu mematuhi syarat ditetapkan dan mengemukakan pelan kebenaran merancang untuk diluluskan dan diperakui," katanya pada sesi Pertanyaan Lisan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Teo (PH-Bahau) berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ng Chin Tsai (PH-Temiang) yang ingin tahu mengenai kedudukan resort di kawasan Pantai Hill.

Beliau berkata, terdapat sesetengah resort di lokasi berkenaan beroperasi lebih 20 tahun tanpa kebenaran kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun sudah melakukan lawatan ke lokasi berkenaan.

"Kerajaan negeri dan PBT perlu pastikan struktur bangunan dibina itu benar-benar selamat.

"Setakat ini pengusaha resort terbabit memberi kerjasama tetapi tidak semua tanah di situ dibangunkan sebagai resort, sebaliknya terdapat sebahagian dibangunkan sebagai kediaman sendiri.

"Justeru, proses pemutihan itu masih giat dijalankan dan sekiranya struktur bangunan itu selamat, kerajaan negeri akan membenarkan mereka beroperasi kerana ia antara lokasi tarikan pelancong ke Negeri Sembilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 4:12 PM