SKM sampaikan sumbangan kepada siswa UiTM. FOTO ihsan pembaca
SKM sampaikan sumbangan kepada siswa UiTM. FOTO ihsan pembaca
Hadzlan Hassan


Shah Alam: Seramai 80 Siswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menerima sumbangan sempena Program Bantuan Bekalan Makanan kepada Siswa dan Komuniti B40, hari ini.

Sumbangan Suruhanjaya Koperasi Selangor dengan kerjasama Koperasi Siswa Universiti Teknologi MARA Selangor Berhad itu disampaikan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Selangor, Aminudin Yahya.

Aminudin ketika ditemui berkata, SKM sentiasa membantu usahawan dan koperasi di Selangor yang berdepan kesukaran sepanjang pandemik Covid-19.

Menurutnya, antaranya ialah bantuan terhadap 23 kedai runcit milik koperasi di Selangor yang menerima Insentif Jualan Harga Patut (JHP) dalam usaha SKM membantu meningkatkan hasil koperasi.

"Selain membantu koperasi insentif berkenaan turut membantu rakyat bagi mendapatkan barangan pada harga yang rendah," katanya.

Menurutnya, insentif secara pembayaran balik atas kos pembelian barangan asas terpilih itu bernilai RM115,000.

"Melalui insentif berkenaan ia memberi manfaat kepada penduduk bandar serta luar bandar dalam mendapatkan keperluan harian pada harga lebih rendah.

"SKM bertanggungjawab membantu koperasi-koperasi di negeri ini (Selangor) ketika berdepan kesan Pandemik Covid-19.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui SKM giat melaksanakan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi bertujuan memulihkan koperasi dan usahawan yang terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 4:55 PM