emandangan luar perkarangan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS). FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
emandangan luar perkarangan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS). FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Aliran kewangan bagi menampung kos operasi Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS), di sini, stabil walaupun berdepan jangkaan kerugian sehingga RM600,000 susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 9 November lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, keseluruhan kos operasi zoo terbabit termasuk bayaran gaji kakitangan berjumlah RM400,000 sebulan dapat ditampung menerusi hasil dapatan lain yang diperoleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Menurutnya, bekalan makanan haiwan ditampung melalui penyaluran Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar berjumlah RM150,000 sebulan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tempoh empat bulan bermula Ogos lalu.

"(Perbelanjaan) yang lain seperti gaji, bil utiliti dan sebagainya kita 'cover' (tampung) dengan kutipan hasil MPT selainnya seperti cukai. Maknanya untuk tempoh sekarang, ZTNS masih dapat bertahan kerana cuma mengalami kemerosotan pendapatan sahaja yang tidaklah sampai membawa kepada masalah jangka panjang.

"Belanjawan, termasuk untuk zoo memang sudah MPT rangka setiap tahun. Bila zoo rugi, kita tampung dengan hasil (kutipan) lain. Bila zoo sudah (ada) untung semula, keuntunggannya itu akan menampung kembali peruntukan yang disalurkan kepadanya sewaktu ia rugi.

"Selain itu seperti yang pernah disebutkan, MPT turut mengalu-alukan sumbangan khususnya makanan haiwan daripada badan korporat yang berminat," katanya ketika ditemui di Wisma Perbandaran Taiping, di sini, hari ini.

Katanya, MPT memberi jaminan bahawa kemerosotan pendapatan zoo tidak sesekali membawa kepada catuan makanan terhadap haiwan di zoo berkenaan.

"Jika manusia pun boleh jatuh sakit akibat makanannya dicatu, begitu juga dengan haiwan. Justeru pemberian makanan kepada haiwan dalam tempoh sukar ini masih seperti biasa dan tidak ada pun dalam perancangan kita untuk mencatu makanan haiwan di zoo ini.

"Berbeza dengan sesetengah zoo seperti Zoo Negara yang diurus selia di bawah nama persatuan, ZTNS pula diuruskan oleh (agensi) kerajaan. Jadi jika ZTNS tidak berkemampuan, ia akan dibantu kerana belanjawannya dirangka oleh agensi kerajaan itu (MPT)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 5:02 PM