ROSMAN. FOTO BERNAMA
ROSMAN. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Padang Besar: Walaupun tempoh pasukan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) bertugas menjaga perbatasan negara di sempadan Malaysia-Thailand tamat secara rasmi, tetapi anggota dan pegawainya berasa masih ada misi yang belum selesai.

Pegawai Pemerintahnya Superintendan Rosman Kasman berkata, hari ini adalah hari terakhir penugasan selama sebulan Batalion 3 PGA berpangkalan di Bidor, Perak di sempadan itu dan mereka akan digantikan dengan Batalion 2 PGA dari Kulim, Kedah.

"The mission is complete' (misi telah selesai)… namun kaki kami berat untuk pulang seperti ada sesuatu yang tidak lengkap iaitu saki baki penyeludup yang terlibat dalam insiden tembak rakan kami masih bebas," katanya kepada Bernama, di sini, semalam.

Dalam kejadian minggu lalu, seorang anggota batalion itu Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban, manakala rakannya Sarjan Norihan a/l Tari, 39, parah selepas diserang sekumpulan penyeludup ketum ketika bertugas menjaga sempadan negara.

"Walaupun semua 310 anggota Batalion 3 PGA berjaya menamatkan tugasan dengan cemerlang, jauh di sudut hati kami tersimpan perasaan pilu dengan kehilangan mendiang (Sarjan Baharuddin) yang merupakan seorang anggota berpengalaman," katanya.

Sehari selepas Baharudin dan Norihan diserang, seorang lagi anggota daripada batalion sama yang sedang bertugas di Pos M16 di Bukit Kayu Hitam juga cedera selepas terkena tembakan senapang angin dipercayai angkara penyeludup.

Rosman berkata, anggotanya yang sebahagiannya dari unit Senoi Praaq sudah melakukan tugas dengan amanah, jujur dan berintegriti kerana bukan mudah untuk menjalankan tugas di sempadan.

"Kelebihan anggota Senoi Praaq ialah mereka menjalankan tugas dengan amanah dan setia dengan setiap arahan yang diberikan. Sepanjang penugasan saya tidak pernah menerima sebarang laporan melibatkan unsur rasuah kerana mereka mempunyai disiplin dan integriti yang tinggi," katanya.

Beliau berkata, kejujuran yang tertanam dalam setiap anggota Senoi Praaq adalah satu legasi yang diwarisi daripada generasi lama pada awal penubuhannya hingga ke hari ini.

"Insiden tembakan baru-baru ini membuktikan bahawa anggota Batalion 3 PGA mempunyai integriti tinggi dan tidak gentar dengan musuh negara," katanya.

Beliau berkata, sejak Op Bersepadu dilancarkan, kumpulan besar penyeludup daun ketum mula menghentikan aktiviti mereka dan yang tinggal hanya beberapa cubaan daripada penyeludup secara berseorangan.

Sementara itu, katanya, pihaknya bercadang untuk membina sebuah tugu peringatan di lokasi kejadian sebagai memperingati jasa mendiang dan pembakar semangat kepada anggota PGA dan pasukan lain menjalankan amanah yang diberikan iaitu menjaga kedaulatan sempadan negara.

"Kita juga akan membina sebuah astaka bola di Kem PGA Bidor, Perak bagi melaksana impian mendiang yang meminati sukan bola sepak dan astaka tersebut akan dikenali BahaBola," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 5:13 PM