SEPULUH penuntut KK menerima tajaan pendidikan dan biasiswa Ketengah. FOTO Ghazali Kori
SEPULUH penuntut KK menerima tajaan pendidikan dan biasiswa Ketengah. FOTO Ghazali Kori
Ahmad Rabiul Zulkifli

Dungun: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan memperuntukkan RM10 juta bagi menaik taraf Kolej Ketengah (KK) di Bandar al-Muktafi Billah Shah, Dungun di sini.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, pihaknya dalam proses menaik taraf kemudahan di KK dalam usaha memberi keselesaan kepada penuntut.

"Kemudahan pembelajaran di KK yang ditubuhkan sejak 2002 itu agak ketinggalan berbanding kolej lain. Oleh itu, kita perlu sediakan kemudahan yang seiring dengan teknologi terkini.

"Sistem telekomunikasi akan dipertingkatkan sesuai dengan keperluan trend pembelajaran secara maya sekarang.

"Kami mahu memberi keselesaan dan kemudahan pembelajaran yang terkini dan terbaik kepada penuntut bagi melahirkan penuntut yang berkualiti dan berdaya saing," katanya ditemui pada Lawatan Kerja Senator Datuk Razali Idris ke KK, hari ini.

Razali berkata, KK juga akan menambah enam jurusan lagi seperti Sijil Kemahiran Kimpalan, Kursus Minyak dan Gas serta Sijil Operasi Ladang.

"Ketika ini, KK hanya menawarkan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan beberapa kursus asas sahaja tetapi pada tahun hadapan, jurusan baru akan ditawarkan.

"Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga akan disediakan di KK pada tahun hadapan," katanya.

Tambahnya, pihaknya menjangka berlaku penambahan penuntut pada tahun hadapan susulan penambahan jumlah jurusan pengajian disediakan KK.

"Ketika ini, ada 450 penuntut dan tahun hadapan, kami mensasarkan sekurang-kurangnya 2,000 penuntut lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendaftar di KK.

"Syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd juga akan menyediakan tajaan pendidikan atau biasiswa kepada penuntut yang layak dan memerlukan," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak dan industri dalam memastikan setiap penuntut mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian di KK.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 5:16 PM