Polis merampas 188 karton mengandungi 37,600 batang rokok putih pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM43,680 selepas menahan seorang lelaki berusia 60 tahun dalam sekatan jalan raya di Jalan Sri Amar, Chow Kit, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Polis merampas 188 karton mengandungi 37,600 batang rokok putih pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM43,680 selepas menahan seorang lelaki berusia 60 tahun dalam sekatan jalan raya di Jalan Sri Amar, Chow Kit, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Lelaki warga emas ditahan di Jalan Sri Amar, Chow Kit di sini, selepas dipercayai cuba mengedar 188 karton rokok seludup bernilai RM43,680.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, lelaki berusia 60 tahun itu ditahan Pasukan Pemantau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

"Semasa anggota melakukan sekatan jalan raya melihat sebuah van jenis Daihatsu dipandu lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui sebanyak 188 karton mengandungi 37,600 barang rokok putih pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM43,680," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata, lelaki itu ditahan polis dan siasatan awal mendapati rokok berkenaan dibawa untuk tujuan pasaran di sekitar kawasan Chow Kit.

Katanya, suspek direman dua hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

Beliau menyeru orang ramai mempunyai maklumat mengenai aktiviti sedemikian menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 6:49 PM