GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan dua lagi kluster baharu Covid-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Ciew Kolombong membabitkan daerah Kota Kinabalu dan Tuaran di Sabah dengan 40 daripada 76 individu yang disaring disahkan positif Covid-19.

Menurutnya, kluster seterusnya adalah Kluster Talang-Talang yang membabitkan Kota Kinabalu dengan 18 kes positif dikesan daripada 67 individu yang sudah disaring setakat hari ini.

"Setakat hari ini, terdapat sebanyak 364 kluster sudah dilaporkan termasuk dua kluster baharu yang dilaporkan hari ini.

"Jumlah kluster yang tamat pula adalah sebanyak 184 kluster termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini masing-masing Kluster Highway, Kluster Inai, dan Kluster Jalan Meru.

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 180 kluster dan sebanyak 33 kluster melaporkan pertambahan kes dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Teratai (778 kes), Kluster Hentian (118 kes) dan Kluster Batu Tujuh (37 kes)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM menyambut baik pengumuman Menteri Kanan Pertahanan bagi melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja kilang bagi Kluster Teratai bermula hari ini sehingga 14 Disember.

Katanya, sehingga kini, majikan yang berkenaan sudah diarahkan untuk menghentikan segala operasi dan menutup kilang secara berperingkat serta menjalankan saringan kepada pekerja mereka.

"Anggota kesihatan juga digerakkan sejak awal lagi ke kawasan yang terbabit bagi membantu segala aktiviti kawalan dan pencegahan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 6:55 PM