Sarjan Norihan  yang terselamat dalam kejadian tembak ketika bertugas.
Sarjan Norihan yang terselamat dalam kejadian tembak ketika bertugas.
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Norihan a/l Tari, 39, yang terselamat dalam kejadian tembak ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand kini sudah boleh berjalan dengan bantuan 'walker frame'.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, keadaan kesihatan anggota PGA itu menunjukkan perkembangan amat baik selepas menjalani pembedahan membuang dua daripada tiga peluru dalam badannya di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Perkembangan Sarjan Norihan sangat baik apabila beliau boleh bernafas sendiri tanpa menggunakan alat bantuan pernafasan.

"Dalam pada itu, beliau juga boleh minum dan makan makanan bertekstur lembut selain sudah boleh berjalan dengan bantuan walker frame," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Kelmarin, anggota Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA berkenaan dipindahkan ke wad biasa selepas empat hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP.

Sehari sebelum itu, beliau mendapat mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang menyerahkan watikah dan surat penghargaan kepada wira negara berkenaan.

Dalam kejadian 3.10 pagi 24 November lalu, Norihan dan seorang lagi anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkena tembakan ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar, Perlis.

Bagaimanapun, Baharuddin terkorban di tempat kejadian selepas ditembak pada bahagian kiri perut.

Norihan pula parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di lokasi kejadian iaitu kira-kira 600 meter dari pos kawalan tempat mereka bertugas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 7:09 PM