LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Punca kematian wanita warga emas yang ditemukan maut di tengah jalan di Jalan Kampung Kedah, Kampung Kuantan, di sini, kelmarin, disebabkan pelbagai kecederaan dipercayai dilanggar kereta.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, punca kematian itu dikenal pasti hasil bedah siasat ke atas mayat yang dijalankan di Hospital Sungai Buloh (HSB), 3 petang hari ini.

"Menurut doktor yang menjalankan bedah siasat, mangsa dipercayai terbabit dalam kemalangan jalan raya (dilanggar kereta).

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Portal Harian Metro melaporkan mangsa berusia 79 yang juga menghidap penyakit kencing manis kronik ditemui seorang lelaki kira-kira 8.11 malam kelmarin.

Mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri selain mengalami kecederaan di kepala.

Pemeriksaan lanjut mendapati dompet mangsa yang mengandungi wang tunai tidak hilang.

Difahamkan, mangsa menetap bersama anak dan menantunya dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas pergi ke rumah jirannya.

Berita berkaitan

Ingatkan pelepah sawit, rupanya mayat jiran

Warga emas ditemukan maut dengan kesan kecederaan di kepala

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 11:37 PM