Nurul Farhanah (tengah) bersama ibunya, Zainora dan bapa, Aziz melihat replika cek tajaan pendidikan Kolej Ketengah yang diterimanya. FOTO Ghazali Kori.
Nurul Farhanah (tengah) bersama ibunya, Zainora dan bapa, Aziz melihat replika cek tajaan pendidikan Kolej Ketengah yang diterimanya. FOTO Ghazali Kori.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Dungun: Kedai runcit diusahakan sudah gulung tikar sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksana bermula Mac lalu, malah penyakit dihidapi turut membataskan Aziz Noh untuk menyara keluarganya.

Dia yang berasal dari Kampung Padang Pulut, di sini lebih bimbang apabila mengenang anak bongsunya, Nurul Farhanah, 19, yang perlu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Bagaimanapun, kebimbangan Aziz, 63, terubat apabila Nurul Farhanah terpilih sebagai 10 penerima tajaan pendidikan Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB).

"Selepas kedai runcit kami tidak beroperasi, perbelanjaan di rumah banyak ditampung pendapatan isteri (Zainora Daud, 52) yang mengambil upah menjahit, namun tidak cukup mana.

"Yuran pengajian anak di Kolej Ketengah (KK) pun sering tertangguh malah saya pernah meminjam untuk membayarnya. Malu juga apabila mengenangkan tetapi saya bersyukur dia menerima tajaan ini," katanya ketika ditemui.

Nurul Farhanah berkata, dia melakukan pelbagai kerja untuk membantu ibu bapanya termasuk menjual makanan viral seperti bebola daging keju.

"Jika tidak dapat tajaan ini, saya bercadang untuk bekerja sebagai pelayan kedai makan bagi menambah pendapatan," katanya yang mengikuti pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Sementara itu, Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata, pihaknya sentiasa prihatin dengan keperluan penuntut terutama mereka yang kurang berkemampuan.

Katanya, bukan hanya menyediakan kemudahan pembelajaran yang lengkap, KK juga memastikan kebajikan penuntut terpelihara.

"Untuk itu tajaan pendidikan diberikan tahun ini kepada 10 penduduk Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang cemerlang dan layak dengan berjumlah RM25,190 setiap seorang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 10:42 AM