Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: "Walaupun orang kurang upaya (OKU), tidak bermakna kita tidak berpeluang untuk berjaya dalam bidang perniagaan," kata Mohamad Nor Abdullah, 28, yang berniaga nasi lemak diberi nama Nasi Lemak Bujang Dekk's Mat di Cheras, di sini.

Mohamad Nor berkata, dia turut bersyukur diberikan gerai percuma di bawah Program Wilayah Prihatin oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, bulan lalu.

"Saya amat berbangga dan teruja apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa hadir mengunjungi gerai ini malah tidak kekok duduk makan semeja.

"Bukan itu sahaja, dengan pemberian gerai percuma itu juga memudahkan urusan saya yang dahulunya terpaksa turun naik mengangkat meja dari rumah di tingkat dua menggunakan bahu dan kepala," katanya.

Tambahnya, sambutan perniagaannya juga semakin baik dan 150 bungkus dijual setiap hari.

Malah, dia pernah menerima tempahan tertinggi sehingga 1,000 bungkus, katanya.

MOHD Nor menguruskan jualan nasi lemak. FOTO Aizuddin Saad
MOHD Nor menguruskan jualan nasi lemak. FOTO Aizuddin Saad

Mohamad Nor, 28, ditemui ketika penyerahan sijil Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1OKU1P) dan serahan zakat korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berjumlah RM3,000 kepada usahawan OKU ini.

Turut hadir dalam sesi penyerahan itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Setiausaha KPDNHEP merangkap Pengerusi SSM Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM Nor Azimah Abdul Aziz.

Mohamad Nor berkata, inisiatif skim berkenaan memberi peluang kepada warga OKU lain di luar sana bagi menceburi bidang perniagaan secara sah di sisi undang-undang.

"Jangan terlalu peduli pandangan orang terhadap kita yang penting adalah berusaha dalam meningkatkan taraf hidup.

"Dengan adanya skim pendaftaran perniagaan secara percuma ini, ianya sedikit sebanyak menaikkan semangat golongan seperti saya untuk mengubah nasib mereka," katanya.

MOHD Nor (kiri) dibantu rakan, Tengku Mahadi Tengku Mamat, 41, menguruskan jualan nasi lemak. FOTO Aizuddin Saad
MOHD Nor (kiri) dibantu rakan, Tengku Mahadi Tengku Mamat, 41, menguruskan jualan nasi lemak. FOTO Aizuddin Saad

Sementara itu, Alexander berkata, beliau menyarankan OKU memanfaatkan S1OKU1P yang ditawarkan SSM.

"Manfaat yang diperoleh bukan saja dapat mendaftarkan perniagaan baru dan memperbaharui pendaftaran perniagaan secara percuma malah membolehkan pinjaman perniagaan dibuat.

"Perniagaan yang berdaftar di bawah SSM juga layak mendapat bantuan yang ditawarkan kerajaan, manfaat latihan kemahiran percuma di samping meningkatkan keyakinan pelanggan untuk membeli," katanya.

ALEXANDER menyerahkan Sijil S1OKU1P dan agihan zakat kepada Mohd Nor sambil disaksikan Hasnol (kiri). FOTO Aizuddin Saad
ALEXANDER menyerahkan Sijil S1OKU1P dan agihan zakat kepada Mohd Nor sambil disaksikan Hasnol (kiri). FOTO Aizuddin Saad

Menurutnya, 1,686 perniagaan berdaftar di bawah S1OKU1P oleh golongan OKU pada Januari hingga Oktober 2020 iaitu peningkatan empat peratus berbanding 1,618 perniagaan pada 2019.

"Sehingga 31 Oktober tahun ini, 12,161 perniagaan didaftarkan di bawah S1OKU1P dan angka ini dijangka meningkat menjelang akhir tahun ini.

"Bilangan OKU yang memanfaatkan skim ini dilihat masih rendah iaitu pada kadar 2.4 peratus sahaja berbanding jumlah bilangan OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu seramai 513,519 setakat 31 Disember 2018," katanya.

Berita berkaitan:

  • Nasi Lemak Bujang Dekk's Mat bukti kecekalan insan istimewa [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 11:53 AM