Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Lebih RM4 bilion bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sudah dijelaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sehingga kelmarin.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, bayaran balik itu membabitkan 27,426 syarikat dan 40,280 tuntutan.

Bagaimanapun katanya, masih terdapat 82,517 tuntutan pembayaran balik itu tidak dapat diproses membabitkan 48,225 syarikat dengan nilai tuntutan RM1.316 bilion.

"Antara masalah dihadapi dalam memproses tuntutan ini kerana penuntut gagal memberi maklum balas bagi mengemukakan dokumen yang diperlukan serta maklumat bank yang dinyatakan tidak sah.

"Keadaan ini berlaku disebabkan penuntut tidak mengemaskini maklumat pendaftaran syarikat seperti alamat perniagaan, nombor telefon dan emel dalam sistem MyGST sehingga menyebabkan notis atau surat pemakluman tidak sampai ke pengetahuan penuntut," katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat JKDM di sini, hari ini.

Berikutan itu, Abdul Latif menyarankan mana-mana syarikat yang masih belum menerima tuntutan pembayaran balik GST supaya mengemaskini maklumat pendaftaran dan maklumat bank di dalam laman Taxpayer Access Point (TAP) MyGST.

"Selain itu, penuntut juga boleh menghubungi JKDM melalui emel Cawangan Kawalan Operasi dan Pulangbalik iaitu di [email protected]," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Latif berkata, pihaknya berjaya mematahkan cubaan penyeludupan minuman keras menerusi 519 kes yang direkodkan sehingga 30 November.

"Kesemua kes itu membabitkan rampasan bernilai RM1.387 juta dengan hasil cukai dan duti iaitu RM34 juta. Rampasan daripada jenis bir sebanyak 1.146 juta liter," katanya.

Terbaharu, katanya, empat kes penyeludupan bir dipatahkan dalam tempoh lima jam di Lembah Klang pada 24 November lalu dengan nilai keseluruhan sitaan arak bersama cukai RM448,000.

Menurutnya, tiga kenderaan RM150,000 juga disita manakala, lima lelaki tempatan ditahan untuk siasatan sebelum dilepas dengan jaminan.

Abdul Latif menunjukkan arak yang dirampas pada sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Abdul Latif menunjukkan arak yang dirampas pada sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 12:45 PM