ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja membuka pintu grill sebuah rumah yang terkunci di Taman Impian Alma. FOTO  IHSAN JBPM
ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja membuka pintu grill sebuah rumah yang terkunci di Taman Impian Alma. FOTO IHSAN JBPM
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Misteri kehilangan seorang pesara lelaki terungkai apabila mayatnya ditemui dalam rumah disewanya di Taman Impian Alma, di sini, malam tadi.

Mayat Seow Ching Yee,49 ditemui tuan rumah berkenaan pada jam 9.21 malam selepas dia mendapat panggilan dari jiran lelaki terbabit yang menyatakan terdapat individu mencari mangsa namun kelibatnya tiada selain tidak nampak penyewanya keluar beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata tuan rumah berusia 50 tahun itu kemudian bergegas ke kediaman disewa kepada lelaki terbabit untuk pemeriksaan.

"Apabila sampai di sana didapati pintu pagar rumah tidak berkunci lalu dia masuk ke dalam kawasan rumah sebelum melihat pintu jeriji berkunci.

"Dia seterusnya cuba menolak pintu yang tidak berkunci dan melihat terdapat air di lantai rumah serta terhidu bau kurang enak.

"Anggota bomba ke tempat kejadian untuk membuka pintu jeriji yang berkunci sebelum pemeriksaan lanjut menemui mayat seorang lelaki dan diserahkan kepada polis untuk siasatan seterusnya" katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Shafee berkata, temubual dijalankan ke atas tuan rumah itu mendapati mangsa menyewa kediaman berkenaan sejak dua tahun lalu.

"Dia tinggal berseorangan dan tiada waris bahkan tidak ada apa-apa maklumat berhubung keluarga terdekatnya.

"Petugas perubatan yang berada di lokasi mengesahkan bahawa mangsa sudah meninggal dunia lebih tiga hari lalu dan pemeriksaan tubuh mangsa berada dalam keadaan sempurna serta tiada kesan menunjukkan bahawa ia perbuatan jenayah," katanya.

Jelasnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 2:01 PM