Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Cubaan sembilan pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia untuk memasuki negara ini gagal apabila ditahan di pantai Tanjung Buluh, Sedili Kechil, Johor, hari ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan berkata, tangkapan dilakukan pada 2.20 pagi dalam Operasi Benteng di kawasan Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

"Pasukan rondaan menerima maklumat pada 1.20 pagi (tadi) daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan anggota petugas Pos Pemerhati melihat pergerakan bot mencurigakan menghampiri kawasan persisiran pantai Ladang Sungai Tengah 1, Bandar Penawar, Johor.

"Pasukan tindakan pantas (QRF) kemudian diatur gerak utuk mengesan dan mengepung kawasan berkenaan," katanya.

Menurutnya, hasil serbuan yang dilakukan berjaya menahan lapan Pati di kawasan berkenaan.

CUBAAN sembilan pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia untuk memasuki negara ini gagal selepas mereka ditahan di Pantai Tanjung Buluh, Sedili Kechil, Johor. FOTO IHSAN ATM
CUBAAN sembilan pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia untuk memasuki negara ini gagal selepas mereka ditahan di Pantai Tanjung Buluh, Sedili Kechil, Johor. FOTO IHSAN ATM

"Pada 8.15 pagi, hasil penjejakan di sekitar kawasan berkenaan pasukan berjaya menahan seorang lagi Pati sedang bersembunyi di hutan berhampiran Ladang Sungai Tengah.

"Semua Pati yang ditahan adalah warga Indonesia terdiri tujuh lelaki dan dua perempuan berusia 24 hingga 45 tahun dipercayai baru tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah," katanya.

Katanya, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM14,231 membabitkan wang tunai Ringgit Malaysia, matawang Indonesia, telefon pintar, jam tangan dan barang kemas.

"Semua individu yang ditahan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi tindakan lanjut," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 2:22 PM