Siti Rohana Idris

Tumpat: Majoriti daripada lebih 150 keluarga di Kampung Kubang Sawa, di sini, tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setiap kali dilanda banjir.

Selain membina rumah agak tinggi, kebanyakan daripada mereka mengambil keputusan untuk bertahan di dalam rumah kerana bimbang kediaman mereka akan dipecah masuk sekiranya ditinggalkan ketika berada di PPS.

Bagi Hisyam Saamah, 41 penduduk di kampung itu sudah biasa dengan kejadian banjir yang berlaku setiap tahun dan kampung itu adalah lokasi pertama yang menerima limpahan air daripada Sungai Golok sebelum mengalir ke beberapa kampung sekitar.

"Kebanyakan penduduk tidak berpindah kerana mereka membina rumah agak tinggi dan paling teruk banjir pernah melanda menyebabkan paras air mencecah dua meter.

"Walaupun ada penduduk yang rumah mereka sudah dinaiki air sehingga mencecah lantai rumah, mereka tidak berpindah kerana risau rumah dipecah masuk," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hisyam berkata, sejak tiga hari lalu air mulai melimpah masuk ke kampung berkenaan dan parasnya sentiasa berubah namun masih terkawal.

Dia berkata, sebagai persiapan awal, dia sekeluarga hanya mengemas dan memindahkan perkakas elektrik yang berada di dapur naik ke ruang lebih tinggi bagi mengelakkannya rosak terkena air.

RAJA Arisan (kanan) ketika melakukan tinjauan di kampung serta memberi nasihat kepada keluarga Hisyam di Kampung Kubang Sawa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
RAJA Arisan (kanan) ketika melakukan tinjauan di kampung serta memberi nasihat kepada keluarga Hisyam di Kampung Kubang Sawa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Kami tidak berpindah kerana tempoh banjir di sekitar Pengkalan Kubor ini agak lama iaitu antara dua minggu hingga lebih sebulan untuk airnya surut berikutan tiada saliran bagi mengalirkan air ke Sungai Golok yang menyebabkan banjir termenung," katanya.

Terdahulu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Ismail, hadir melakukan tinjauan di kampung itu termasuk beberapa kampung sekitar bagi memantau situasi paras air.

Seorang lagi penduduk, Zubaidah Abu Bakar, 50 berkata, dia dan suami serta lima anak tidak pernah berpindah ke PPS kerana rumah mereka dibina agak tinggi malah menyediakan sebuah ruang yang selamat jika air naik di luar jangkaan.

Katanya, hampir setiap rumah di kampung itu mempunyai bot yang digunakan ketika banjir sama ada berulang alik ke tempat kerja, keluar membeli barang di kedai runcit atau memukat di bendang yang dipenuhi air.

"Setiap tahun air memang mencecah hingga ke lantai dan dalam rumah ada dibina satu ruang yang lebih tinggi di mana ia kami semua akan berada di situ jika air masih belum surut.

"Di bahagian dapur juga dinaiki air dan memasak sambil meredah air memang sudah biasa berlaku setiap tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 4:45 PM