Mohideen Abdul Kader.
Mohideen Abdul Kader.
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa menarik semula daging beku diimport dari pasaran di negara ini.

Ia berikutan dikhuatiri pengguna Islam memakan daging yang tidak halal tanpa sedar.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, gesaan itu dibuat berikutan laporan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang merampas 1,500 tan daging beku bernilai RM30 juta dari sebuah bilik stor di Senai, Johor, baru-baru ini.

Katanya, daging tidak halal diimport dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina itu kemudian dibungkus semula dan dilabelkan sebagai daging halal sebelum diedarkan ke seluruh negara.

"Pengguna dinasihati tidak membeli daging beku import dan produk daging diproses sehingga pihak berkuasa dapat memastikan bahawa ia daging halal.

"Tindakan tegas juga perlu diambil terhadap penyeludup daging beku import kerana ia membabitkan soal akidah orang Islam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, ia bukanlah rampasan pertama daging beku import yang dilakukan pihak berkuasa.

Katanya pada Jun lalu, pihak berkuasa berjaya merampas daging beku bernilai lebih RM80,000 di Pasir Mas, Kelantan yang dibawa dari negara jiran.

Pada 2018, pihak berkuasa menemui 273 kotak berisi daging beku dari Brazil seberat 5,106 kilogram (kg) bernilai RM72, 840 dengan cukai sebanyak RM7,284.

"Disebabkan harga daging tempatan yang mahal, restoran dan tempat makan lain menggunakan daging beku import dalam makanan yang dihidang kepada pelanggan.

"Pengeluar daging yang diproses turut menggunakan daging beku import dalam produk mereka justeru, kita tidak boleh menganggap bahawa daging berlabel 'halal' itu benar-benar halal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 5:20 PM