Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Data peribadi di dalam aplikasi MySejahtera dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dikawal di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa data peribadi dalam aplikasi MySejahtera adalah selamat dan dikawal selia sepenuhnya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Aplikasi MySejahtera mematuhi piawaian antarabangsa di dalam melindungi kerahsiaan dan keselamatan data.

"Aplikasi berkenaan mempunyai ciri keselamatan yang kukuh rakyat negara ini tidak perlu bimbang dengan sebarang kebocoran maklumat peribadi mereka melalui aplikasi My Sejahtera," katanya pada sidang media, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Ismail Sabri berkata, MySejahtera juga dikawal oleh kerajaan bagi memastikan data peribadi pengguna dilindungi.

"Ia di bawah kawalan kerajaan. Kita mengawalnya dan memastikan data peribadi itu dilindungi untuk sebarang isu kononnya data itu dikongsi sesiapa.

"Adalah menjadi kesalahan jika data peribadi itu dikongsi oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab dan boleh didakwa di bawah Akta Perlindungan Peribadi," katanya.

Menurutnya, pengguna aplikasi berkenaan tidak perlu bimbang kerana ia mempunyai ciri keselamatan dan dilindungi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 6:00 PM