Sutera Dania Sofyaa sedang bermain mainan plastesin, serta  hasil mainan plastesin yang dihasilkan Sutera Dania Sofyaa. FOTO Ihsan Siti Khadija Amiron
Sutera Dania Sofyaa sedang bermain mainan plastesin, serta hasil mainan plastesin yang dihasilkan Sutera Dania Sofyaa. FOTO Ihsan Siti Khadija Amiron
Mohamad Fais Jusoh


Kuala Lumpur: "Mainan plastisin itu seakan terapi buat Dania ketika dia menerima rawatan di Hospital Serdang dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras."

Begitu kata Siti Khadijah Amiron, ibu kepada kanak-kanak perempuan Sutera Dania Sofyaa, 5, yang disahkan menghidap Autism Spectrum Disorder (ASD).

Perkongsian ibunya mengenai hasil miniatur plastisin di dalam Facebook Autisme Malaysia turut tular dan mendapat perhatian netizen.

Siti Khadijah, 40, berkata anak bongsu daripada tiga beradik itu gemar membuat watak kartun atau haiwan menggunakan tanah liat selepas melihatnya di dalam buku atau video.

"Dania sebenarnya tidak ada mengikuti mana-mana kelas. Saya sedar dia berminat dengan mainan plastisin ini bila kakak dia main, tapi Dania buat bentuk biasa-biasa pada mulanya.

"Selepas itu dia mula buat bentuk binatang, sebab Dania suka tengok buku binatang kesayangan dia dan mungkin dia terpengaruh dengan lagu kanak-kanak seperti 'Itsy bitsy spider', '5 little ducks', 'Ding dong bell' dan beberapa lagu lagi," katanya.

Katanya, dia tidak menyangka Dania boleh menghasilkan pelbagai bentuk menggunakan plastisin dengan terperinci walaupun hanya permainannya sahaja.

"Dulu pada awalnya tak simpan juga, tapi bila dia buat ada yang sangat menarik perhatian dan saya mula kumpul.

"Dania tak ada apa-apa komplikasi, cuma dia seperti kanak-kanak austime lain, suka memberontak tanpa sebab, tidak boleh berkomunikasi dan tidak memandang ketika bercakap," katanya.

Katanya, penjagaan anaknya masih mampu dikawal pada usia berkenaa, cuma sukar memahami kehendaknya.

Berkongsi pengalaman memiliki anak istimewa itu, Siti Khadijah berkata, dia dan suaminya harus peka dengan kehendak, bakat dan kebolehan anaknya.

Menurutnya, ibu bapa yang mempunyai anak istimewa ini perlu sentiasa sensitif dengan perkembangan anak mereka.

"Pesanan saya, yang ada anak seperti Dania, harap ibu bapa dapat terima dengan hati yang terbuka dari awal.

"Kalau sedar mereka lain daripada lain, kita kena terima dan yakin kepada Allah bahawa ia adalah anugerah serta ujian buat kita," katanya.

Katanya, sebagai ibu dia akan sentiasa membantu dan memberi sokongan sepenuhnya kepada anaknya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 7:28 PM