Pengarah Yayasan Sabah Datuk Gulam Haidar Khan Bahadar (dua, kanan) ketika menyambut ketibaan para pelajar Yayasan Sabah di Lapangan terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini. FOTO BERNAMA
Pengarah Yayasan Sabah Datuk Gulam Haidar Khan Bahadar (dua, kanan) ketika menyambut ketibaan para pelajar Yayasan Sabah di Lapangan terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kota Kinabalu: Seramai 84 pelajar sekolah menengah berasa lega apabila dapat pulang ke Sabah hari ini selepas lebih sebulan terkandas di asrama masing-masing di Semenanjung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah.

Pelajar tajaan Yayasan Sabah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) disambut oleh pengarah yayasan Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar. Tiket penerbangan mereka ditaja oleh yayasan berkenaan.

Pelajar Tingkatan Tiga SMK (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru Gloria Abigail Ikas ketika ditemui Bernama berkata, semasa terkandas, dia berusaha agar emosinya tidak terganggu dengan meluangkan masa bersama rakan-rakan dan melakukan pelbagai aktiviti.

Wan NorAzlyn, 15, dari SMK Agama Johor Bahru berkata, menginap di asrama Yayasan Sabah membolehkannya mendapat bekalan makanan percuma.

"Saya sangat gembira akhirnya dapat kembali ke kampung halaman tercinta di Beaufort hari ini.

"Berjauhan dengan ahli keluarga ketika krisis adalah sesuatu yang sukar buat saya. Secara jujurnya, saya rindukan kampung halaman. Namun, seiring waktu berjalan, saya terbiasa dengan persekitaran di sana," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 8:44 PM